Syed Saddiq nazar botak kepala kutip RM200,000 beli laptop pelajar

faceapp

AHLI Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bernazar untuk membotakkan kepalanya jika berjaya mengutip sumbangan sebanyak RM200,000.

Tindakan radikal yang juga kreatif itu sebagai kempen untuk mengutip dana bagi membeli sebuah komputer riba untuk 100 orang pelajar dalam kawasan parlimen beliau.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu telah melancarkan kempen #1keluarga1laptop tersebut semalam dengan matlamat setiap keluarga di Parlimen Muar akan memiliki sebuah komputer riba untuk kegunaan anak-anak mereka.

Sebelum ini melalui cara yang sama Syed Saddiq telah berjaya menyumbangkan sebuah komputer riba kepada 100 orang pelajar di kawasan beliau.

Kesemua penerima komputer riba berkenaan terdiri daripada pelajar dari golongan keluarga berpendapatan sederhana dan rendah serta telah menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

Bagaimanapun menurut Syed Saddiq masih ramai lagi pelajar di dalam senarai memohon yang menanti untuk menerima sumbangan komputer riba yang dapat membantu mereka dalam pendidikan.

“Inisiatif ini khas dilakukan kerana saya sedar kepentingan laptop yang kini sangat diperlukan oleh para pelajar.

“Saya juga bernazar, dengan tercapainya sasaran kempen ini, saya akan membotakkan kepala saya sebagai tanda kesyukuran. Semuanya demi Muar.

“Saya berharap dan menyeru para insan yang baik hati dan dermawan supaya turut serta bersama saya di dalam menjayakan program murni ini,” kata Syed Saddiq.

Sehingga pukul 8 malam tadi kempen tersebut telah menerima sambutan yang memberangsangkan dan beliau berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM61,410.

Menurut Syed Saddiq beliau berasa amat terharu atas keprihatinan para penyumbang yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama terhadap kempen yang dijalankan.

“Ianya menguatkan lagi iltizam saya untuk memastikan sasaran RM200,000 mesti dicapai. Doakan semoga kempen ini berjaya. Bantulah sebarkan tentang kempen ini kepada rakan dan saudara anda.

“Nak tengok saya botak kan? Semoga semuanya berjalan lancar. Jalan tegak,” kata Syed Saddiq.

Kempen tersebut berbaki empat hari lagi. Sumbangan boleh dilakukan melalui akaun CIMB 8603323060 Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Muar di CIMB Bank. SM

Abang Botak : 12 Bulan Penjara Kerana Pukul Cermin Kereta

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker