Azmin tidak diwakili peguam dalam saman pengundi Gombak

Menteri Kanan (Ekonomi) Mohamed Azmin Ali tidak diwakili peguam ketika pengurusan kes saman hari ini, yang difailkan 10 pengundi Gombak terhadap Ahli Parlimen mereka atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari.

Peguam Yohendra Nadarajan, yang mewakili kumpulan pengundi itu, ketika pengurusan kes secara dalam talian berkata Timbalan Pendaftar Maslinda Selamat meminta beliau memfailkan afidavit untuk menunjukkan dokumen perundangan sudah diserahkan kepada Azmin.

Maslinda menetapkan pengurusan kes sekali lagi pada 14 Jan depan.

“Saya menjangkakan seorang peguam (mewakili Azmin) akan hadir memandangkan kertas sudah diserahkan kepada Azmin pada 1 Dis,” kata Yohendra.

Mengikut peraturan mahkamah, Azmin perlu mendapatkan khidmat peguam dalam masa 14 hari selepas mendapat kertas kausa, dan kemudian memfailkan memorandum kehadiran di mahkamah.

Ini bagi membolehkan peguamnya mengambil arahan daripada mahkamah.

Yohendra akan memfailkan untuk mendapatkan penghakiman ingkar, jika tiada peguam mewakili Azmin pada 14 Jan depan.

Pengundi memohon perisytiharan yang Azmin, sebagai pemegang amanah, mempunyai tanggungjawab fidusiari sebagai Ahli Parlimen Gombak.

Mereka turut memohon perisytiharan yang Azmin menipu mereka dan memungkiri sumpah perlembagaannya mengikut Perkara 59(1), yang dibaca bersama Jadual Keenam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, plaintif berkata, Azmin menawarkan diri untuk bertanding pada pilihan raya 2018 untuk menyingkirkan kerajaan Barisan Nasional ketika itu dan membebaskan Malaysia daripada pegawai kerajaan korup.

Mereka berkata, Azmin menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari lalu dan menyertai pentadbiran Perikatan Nasional, yang turut meliputi BN, termasuk individu diakui Azmin sendiri “terlibat dalam kegiatan rasuah”.

Mereka berkata, bekas timbalan presiden PKR, berjanji untuk mematuhi manifesto PH bagi pilihan raya 2018 untuk menangani, antara lain salah laku BN ketika ia menjadi kerajaan persekutuan. FMT

Mahathir sedia jadi saksi kes pengundi Gombak saman Azmin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker