Akar Umbi Akan Tentukan Kerjasama Dengan PN – MB Perak

Umno akan mengambil kira pendapat dan pandangan pimpinan di peringkat akar umbi, mengenai kerjasama antara parti itu dengan Perikatan Nasional (PN) pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian empat peringkat, yang bermula Jumaat ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Saarani Mohamad berkata, kesemua pendapat dan pandangan itu akan diteliti secara terperinci oleh Majlis Tertinggi Umno, yang dijadual bermesyuarat pada 6 Jan depan.

“Apabila kita buat Mesyuarat Perwakilan Bahagian empat peringkat, ia diwakili oleh ketua-ketua cawangan dan juga wakil cawangan seperti ketua wanita, pemuda dan puteri, mereka ini pemimpin akar umbi jadi biar mereka memberi pendapat dan pandangan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Penghijauan Malaysia Melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Peringkat Negeri Perak, di Taman Eko Rimba Kledang Saiong, Bandar Meru Raya di Ipoh, hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Umno Datuk Ahmad Maslan berkata Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian empat peringkat iaitu Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri, akan diadakan secara serentak di semua 191 bahagian selama tiga hari bermula 1 Jan.

Mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Umno Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, yang berharap PAS segera membuat keputusan sama ada mahu bersama-sama Muafakat Nasional (MN) atau PN, Saraani yang juga Menteri Besar Perak berkata, ia penting bagi memudahkan Umno merancang strategi parti di setiap kerusi yang bakal ditandingi, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Saya fikir, beliau (Tajuddin) perlukan (mahu segera) satu hala tuju yang jelas, kerana kita tidak mahu kelemahan dan kesilapan semasa Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu, kerana Muafakat tidak ada di Sabah, hanya ada Perikatan Nasional sahaja sehingga PAS tercicir,” katanya.

Dalam perkembangan lain Saarani berkata, pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Baharu Datuk Abd Manap Hashim sebagai Penasihat Khas Menteri Besar yang bertaraf Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), bukan satu imbuhan kerana membawa usul keyakinan majoriti ahli Dewan terhadap menteri besar ketika itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada 4 Dis lalu.

Menerusi usul itu yang dibawa semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri, Ahmad Faizal gagal mendapat sokongan majoriti ahli Dewan sehingga terpaksa meletak jawatan bersama seluruh barisan Exco pada 5 Dis.

“Tempat itu (Penasihat Khas Menteri Besar) telah dikosongkan Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Bersatu-Sungai Manik) yang dilantik sebagai Exco, jadi ia perlu diisi dan kita memilih Abd Manap kerana beliau mempunyai kebolehan, termasuklah seorang Adun yang ‘senior’,” katanya.

– Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker