Tak peduli nasihat bomba…Sembilan jam padam kebakaran pasar raya

Kuala Kangsar: Pasukan bomba mengambil masa lebih lapan jam untuk memadam kebakaran sebuah pasar raya di Jalan Kuala Kangsar-Taiping berhampiran Talang, di sini, semalam.

Dalam kejadian 4.49 petang semalam, lebih separuh pasar raya dua tingkat yang berkeluasan 779.6 meter persegi musnah terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Hamidi Manas berkata, anggota BBP Kuala Kangsar dikejarkan ke lokasi bagi operasi memadamkan api dengan dibantu BBP Sungai Siput dan BBP Taiping.

“Api berjaya dikawal kira-kira dua jam selepas itu menggunakan satu aliran hos 30 meter dua pancutan. Bagaimanapun terdapat kesukaran bagi memadamkan bara api serta bahagian bawah sisa kebakaran disebabkan kepadatan barangan dalam pasar raya itu.

“Jentera ALP (Aerial Ladder Platform) dari BBP Ipoh juga terbabit dalam operasi ini hingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya. Operasi berakhir jam 2.15 pagi,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Katanya, pemilik premis itu juga sudah beberapa kali diberi notis oleh bomba mengenai pengubahsuaian susunan barang serta struktur dalaman yang tidak menepati spesifikasi keselamatan.

“Ubah suai yang dilakukan agak banyak antaranya penutupan sebelah tangga yang digantikan dengan eskalator yang dikhususkan untuk mengangkat barang selain susunan barang terlalu padat menyebabkan api merebak cepat,” katanya.-HM

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker