Legenda rock, Lefthanded, bakal gegarkan Kelantan Februari 2021
KOTA BHARU: Buat julung-julung kalinya, kumpulan rock legenda tanah air, Lefthanded akan mengadakan konsert secara terbuka di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, pada Februari tahun depan.
Konsert jelajah Lefthanded sempena ulang tahun kumpulan berkenaan ke-40, turut memilih Kelantan selepas mendapat permit untuk penganjuran.
Menurut penyanyi kumpulan berkenaan, Datuk Nasharuddin Elias atau Nash, beliau akan menyanyikan lagu dikir barat popular Kelantan, Wau Bulan.
“Kira macam dikir barat Kelantan punya anthem, Wau Bulan. Saya akan belajar pantun tu dengan pendikir. Kita ada 100 pendikir pada malam tu,” ujarnya.
Katanya persembahan di pentas itu kelak akan turut disertai oleh 100 pendikir Kelantan Konsert menerusi Projek Gila membabitkan 16 tempat di seluruh negara.
Sementara itu, Setiausaha Majlis Kebudayaan Negeri, Ayman Mohd Daham berkata Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB BRI) sudah mengeluarkan permit membenarkan penganjuran konsert berkenaan.
“Antara syarat yang lain dari negeri lain ialah penonton wanita dan lelaki (diletakkan) berasingan. Keluarga kalau datang tak ada masalah. Syarat lain adalah konsert kena bermula lepas Isyak dan tamat 11.30 malam,” jelas Nash.
Selain itu, penonton juga diminta memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal sepanjang konsert yang dijadualkan berlangsung pada tarikh yang dijadualkan iaitu 13 Februari tahun depan.
Kelantan sudah lama tidak menerima kedatangan kumpulan rock untuk mempersembahkan nyanyian secara terbuka. Difahamkan, kali akhir konsert rock dianjurkan di Stadium Sultan Muhammad IV adalah pada tahun 1985.
Sejak itu, beberapa syarat ketat yang dikuatkuasakan oleh kerajaan Kelantan berkaitan acara hiburan. Itu termasuk tidak membenarkan artis wanita menyanyi di khalayak umum, tidak membenarkan pakaian mencolok mata dan tidak menutup aurat, selain pengasingan penonton wanita dan lelaki.
The Rock terima pendapatan RM4juta bagi setiap hantaran di Instagram