Telegram bakal kenakan bayaran untuk pengguna premium
Ciri sedia ada kekal percuma, pengguna perlu bayar untuk nikmati ciri baharu
MOSCOW, 8 Jamadilawal 1442H, Rabu – Aplikasi mesej terkod, Telegram mungkin tidak lagi kekal percuma untuk pengguna pada masa akan datang.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat, Pavel Durov hari ini berkata, ia perlu menjana pendapatan mulai tahun 2021 untuk memastikan perniagaan dapat diteruskan.
Katanya, Telegram tidak lama lagi akan memperoleh sekitar 500 juta pengguna aktif, tetapi untuk meneruskan perkhidmatan, syarikat memerlukan dana yang sesuai.
Durov di saluran Telegramnya telah berkongsi bahawa beliau telah membiaya perbelanjaan syarikat itu daripada simpanan peribadinya.
“Tetapi sekarang syarikat ini berkembang dengan berbilion pengguna aktif, jadi ia memerlukan dana yang mencukupi,” katanya.
Mengulas mengenai rancangannya untuk menjana pendapatan, Durov berkata, Telegram akan memulakan rancangan untuk menjana pendapatan mulai tahun depan.
“Kami akan melakukannya sesuai dengan nilai-nilai dan janji yang telah kami buat selama tujuh tahun terakhir.
“Terima kasih kepada pengguna semasa kami, kami akan melakukannya dengan kaedah yang tidak mengganggu. Malah, sebilangan besar pengguna hampir tidak akan menyedari perubahannya,” katanya.
Namun, beliau menyebutkan bahawa ciri-ciri yang sedia ada ketika ini akan kekal percuma.
“Tiada caj tambahan akan dikenakan ke atasnya. Semua ciri yang kini percuma akan tetap percuma. Kami akan menambahkan beberapa ciri baru untuk pemilik perniagaan atau pengguna kuasa.
“Beberapa ciri ini memerlukan lebih banyak sumber dan akan dibayar oleh pengguna premium ini. Pengguna biasa akan dapat terus menikmati Telegram secara percuma, selama-lamanya,” katanya.
Durov mengatakan bahawa mesej antara pengguna juga tetap akan bebas daripada sebarang iklan.
Ini kerana beliau merasakan bahawa memaparkan iklan di tengah-tengah perbualan bukan satu idea yang baik.
Durov mengatakan bahawa untuk menjana pendapatan, ia tidak merancang untuk menjual Telegram seperti pengasas Whatsapp.
“Dunia memerlukan Telegram untuk berdikari sebagai tempat pengguna dihormati dan perkhidmatan berkualiti tinggi terjamin.
“Telegram mesti terus melayani dunia sebagai contoh syarikat teknologi yang berusaha untuk kesempurnaan dan integriti,” katanya. – Agensi