Kedaulatan Undang-undang… Masihkah UMNO/BN Jadi ‘Mainan’?

Tarikh 21 Disember 2020 mencatat satu lagi momen dalam perkembangan politik tempatan apabila Bendahari Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor didapati bersalah atas pertuduhan menerima rasuah oleh Mahkamah Tinggi yang menjadikan beliau adalah pemimpin kedua menerima sabit hukuman selepas mantan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya telah dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta atau penjara enam bulan sementara Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Kedua-dua pemimpin Barisan Nasional (BN)/UMNO ini adalah antara barisan mereka yang menerima pendakwaan semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas BN gagal mengekalkan majoriti kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Secara umumnya ramai sedia maklum bahawa banyak pendakwaan yang dilaksanakan sewaktu pentadbiran PH adalah bersifat terpilih atau pendakwaan politik iaitu bagi melemahkan dan ‘membunuh’ karektor dalam BN/UMNO yang secara tidak langsung akan menyerlahkan PH itu sendiri.

Antara propaganda utama PH ialah tuduhan BN telah merompak berbilion-bilion dari institusi-institusi Melayu dan merosakkannya, mencuri duit kerajaan dan rakyat walaupun semua institusi beroperasi dengan baik sebelum PRU14.

Selain daripada Tengku Adnan dan Najib barisan pemimpin lain yang menerima pendakwaan di mahkamah ialah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling), Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian) dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (Kinabatangan).

Adakah satu kesilapan kepada para pemimpin ini untuk kekal teguh dalam ideologi ‘Bersatu Bersetia Berkhidmat’ sedangkan ketika itu mereka mempunyai pilihan untuk ‘lompat’ sebagaimana yang dilakukan oleh sebilangan ahli Parlimen bagi mengelakkan diheret ke mahkamah.

Ya, bagi Najib dan Tengku Adnan telah dibicarakan dan hukuman juga telah dibacakan. Kedua-dua pemimpin ini berjiwa besar dan akur dengan setiap keputusan di mahkamah, mengikuti perbicaraan dari awal tanpa rewel lantaran sedar bahawa kedaulatan undang-undang negara ini adalah yang utama, namun persoalan yang timbul mengapa ia hanya membabitkan kepimpinan dari BN/UMNO sahaja?

Adakah pemimpin-pemimpin dari parti-parti lain ‘suci’, tiada kesalahan atau langsung tidak bersalah hinggakan ada kes-kes yang melibatkan mereka mudah sekali digugurkan.

BN/UMNO sentiasa menghormati sistem peraturan perundangan dan pengasingan kuasa di antara eksekutif, legislatif dan kehakiman dengan tidak mencampur-adukkannya dengan kepentingan politik, namun persoalannya bagaimana pula amalan bagi parti-parti lain.

‘The rule of law’ dan ‘law of the jungle’ seringkali ditimbulkan lantaran pengadilan adakalanya dilihat samar antara hitam dan kelabu.

Menyorot kes pemimpin Dap, pada 3 Sept 2018, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo sedangkan perbicaraan kes itu telah bermula pada 26 Mac tahun yang sama dengan 25 saksi sudah dipanggil memberikan keterangan.

Begitu sahaja kerajaan PH menggugurkan kes Guan Eng yang kemudian dilantik sebagai Menteri Kewangan.

Hal yang sama juga melibatkan kes Rafizi Ramli yang terselamat daripada penjara apabila, mahkamah rayuan membebaskan beliau dan pejabat Pejabat Peguam Negara tidak menfailkan ke Mahkamah Persekutuan.

Kes lain sebagaimana Pengerusi DAP Jerantut dibebaskan setelah beliau mencabar dan mengugut pihak polis manakala Tian Chua juga sedemikian walhal bersalah kerana menfitnah. Mahkamah Seksyen mendapati beliau bersalah dan didenda RM1800 serta 3 bulan Penjara.

Sesungguhnya, pertimbangan atas kewajaran apakah yang menyebabkan kes-kes sebagaimana di atas tidak digunapakai sedangkan kepimpinan BN/UMNO dijadikan sebagai bahan percaturan perundangan.

Mengapa kes-kes melibatkan kepimpinan PH seakan ‘sapu bawah karpet’ atau ‘didiamkan’ manakala kepimpina BN/UMNO diwar-warkan dan menjadi liputan seakan mengukuhkan persepsi negatif dalam parti ini.

Sungguh, pentadbiran PH telah berlalu dan hanya bertahan 22 bulan yang kemudian diganti Perikatan Nasional (PN) yang didukung oleh majoriti pemimpin BN/UMNO, namun masihkah BN/UMNO menjadi ‘bahan mainan’ atau matlamat untuk ‘melemahkan’ BN/UMNO masih berlaku?

Tepuk dada tanya selera, rakyat pemerhati setia, tahu apa yang tertera dan menilai setiap yang berlaku… dan BN tetap utuh dari rakyat, untuk rakyat, kerana rakyat!

UMNOPutrajaya

 

Kisah Panjang Ketua Kampung Kita: Tengku Adnan Tengku Mansor

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker