Industri Farmaseutikal: Tiga pengeluar vaksin dan syarikat tempatan berkerjasama – Khairy Jamaluddin

Kerajaan sedang memuktamadkan perjanjian untuk tiga pengeluar vaksin bekerjasama dengan syarikat tempatan dan membantu perkembangan industri farmaseutikal tempatan, kata pengerusi bersama Jawatankuasa Khas Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), Khairy Jamaluddin.

Menteri sains, teknologi dan inovasi itu menekankan Malaysia mahu perjanjian perolehan vaksin bukan semata-mata menjadi perjanjian jual beli, tetapi juga peluang untuk Malaysia membina kemampuan menghasilkan vaksin sendiri pada masa hadapan.

Bagaimanapun, dia menegaskan kerajaan tidak berminat dengan syarikat pengantara yang hanya mahu menjadi pengedar vaksin semata-mata.



“Syarikat-syarikat datang jumpa saya dan berkata, ‘Saya pengedar vaksin A’. Saya tanya mereka, apa nilai tambah syarikat kamu? Kalau mereka sekadar pengedar, mereka tak cukup nilai tambah.

“Kita nak lihat apakah kita boleh libatkan pengeluaran serta kajian dan pembangunan sekali.

“Jadi kita telah melihat bahawa tiga lagi perjanjian yang berada di proses perundingan terakhir. Syarikat-syarikat ini memberi nilai tambah kepada pembangunan vaksin negara,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Dia turut memaklumkan Malaysia mempunyai kapasiti menghasilkan vaksin untuk penggunaan manusia.



Kata Khairy, tiga pengeluar vaksin yang dimaksudkan ialah Sinovac dan CanSino Biologics dari China, serta Institut Kajian Epidemiologi dan Mikrobiologi Gamaleya dari Rusia, namun tidak menamakan syarikat tempatan yang terlibat.

Tambahnya, Malaysia sedang mencari jalan untuk membangunkan kapasiti penghasilan vaksin dalam tiga aspek – pengeluaran, kajian dan pembangunan, serta pemindahan teknologi.

Secara khusus, Khairy memberitahu Sinovac akan membekalkan 14 juta dos calon vaksinnya secara pukal, cukup buat 7 juta rakyat Malaysia (22 peratus daripada populasi).

Sebuah syarikat tempatan akan melakukan proses fill-finish – secara asasnya membungkus semula vaksin ke dalam botol-botol kecil sebelum diagihkan. Khairy berkata proses ini ialah langkah pertama yang penting dalam membangunkan kapasiti pengeluaran vaksin.



Untuk rekod, pengeluaran ubat suntikan selalunya dipantau ketat oleh pengawal selia dan pengeluar bagi memastikannya bebas daripada bahan pencemar.

Khairy tidak mendedahkan tahap penglibatan syarikat tempatan untuk CanSinoBIO dan Gamaleya.

Sebaliknya, katanya, Malaysia sedang memuktamadkan perjanjian untuk membeli 3.5 juta dos calon vaksin dari CanSinoBIO, dan 6.4 juta dos vaksin Sputnik V dari Gamaleya.

Katanya, vaksin CanSinoBIO agak menarik memandangkan ia merupakan vaksin satu dos, sedangkan kebanyakan vaksin Covid-19 ialah vaksin dua dos.



Untuk rekod, calon vaksin Sinovac, CanSinoBIO, dan Gamaleya masih dalam peringkat ujian. Gamaleya ada membuat kenyataan berhubung keberkesanan vaksinnya namun belum membuktikan dakwaan mereka itu.

Malaysia letak harapan tinggi terhadap pengeluar vaksin COVID-19 – Dr Adham



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker