Arab Saudi dijangka kenakan syarat, caj tambahan baharu kepada bakal haji
Kerajaan Arab Saudi dijangka mengenakan beberapa syarat dan caj tambahan baharu kepada bakal haji selari usaha mereka membendung penularan wabak COVID-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, bakal haji perlu bersedia dari segi kewangan untuk memenuhi tuntutan itu kelak.
“Jika kerajaan Malaysia membuat keputusan untuk membenarkan sebilangan rakyat menunaikan ibadat haji pada musim haji akan datang, SOP yang komprehensif akan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM), ia akan diuruskan dengan terbaik oleh Tabung Haji (TH).
“Selain SOP dikeluarkan oleh Malaysia, bakal haji juga perlu mematuhi SOP ditetapkan kerajaan Arab Saudi dalam usaha mereka mengekang penularan wabak semasa ibadat haji berlangsung,” katanya pada sidang media di menara TH.
Pada 18 Okt lalu, kerajaan Malaysia dan Arab Saudi bersetuju menubuhkan jawatankuasa strategik peringkat tertinggi yang memberi tumpuan terhadap kerjasama pasca pandemik COVID-19 termasuk mengenai kuota haji 2021.
Menteri Luar Hishammuddin Hussein berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan Menteri Luar Negeri Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al Saud dan beliau sendiri.
Arab Saudi dijangka melonggarkan penutupan sempadan bermula 1 Januari 2021 dan membenarkan umat Islam dari negara lain menunaikan haji serta umrah dengan SOP tertentu.
Dalam pada itu Zulkifli berkata, dijangka terdapat syarat pemilihan bakal haji dari aspek tahap kesihatan.
Katanya, bakal haji harus sentiasa diingatkan untuk lebih bersedia dari segi kesihatan fizikal dan mental.
“Biasakan diri dengan norma baharu bagi memudahkan bakal haji menyesuaikan diri jika terpilih mengerjakan ibadat haji nanti,” katanya.
Zulkifli berkata, perincian mengenai jangkaan kos menunaikan haji juga akan dimaklumkan pada akhir Januari tahun depan.
Beliau akan ke Arab Saudi bagi membincangkan isu berkait dengan bakal haji dalam masa terdekat.
“Perkara ini akan dibincangkan dan dibentangkan dari semasa ke semasa. Masalah kita hadapi adalah unjuran kos. Kita akan runding dalam masa terdekat untuk kemukakan kos berkait dengan acara ibadat haji,” katanya. FMT