Peragut salah pilih mangsa


SENTUL – Tindakan seorang lelaki yang cuba meragut menggunakan sebilah parang akhirnya mengundang padah apabila dia akhirnya ditahan malah turut diacukan dengan sepucuk pistol dalam satu kejadian di Jalan Metro Perdana Barat 2 di sini pada 15 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi itu, suspek seorang warga tempatan berusia 34 tahun telah menghampiri seorang lelaki warganegara India sambil menghunuskan sebilah parang dengan tujuan untuk meragut.

“Suspek telah mengacukan parang tersebut ke leher mangsa berusia 36 tahun itu dan mengarahkan lelaki tersebut menyerahkan wang tunai sebanyak RM15,000 yang dibawanya.

“Selepas mendapat wang tersebut, suspek cuba melarikan diri ke arah rakannya yang menunggu bersama sebuah motosikal namun tidak berjaya selepas dihalang oleh mangsa dengan bantuan pengawal keselamatan peribadi,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.



Menurut Eng Lai, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan susulan insiden terbabit namun rakan subahat suspek berjaya melarikan diri.

“Suspek kemudiannya diserahkan kepada pihak polis dan semakan tidak menemui sebarang rekod jenayah lampau dan lelaki tersebut kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 22 Disember untuk disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis kini sedang giat memburu rakan sejenayah suspek yang masih bebas,” tegas beliau.

Jelas Eng Lai, mangsa bekerja di sebuah syarikat pembekal komputer milik keluarganya di kawasan berhampiran dan sedang dalam perjalanan pulang ke pejabatnya selepas mengambil wang tersebut daripada pelanggan.



Tambah Eng Lai, polis Kuala Lumpur menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan sentiasa berwaspada terutamanya semasa membuat urusan melibatkan wang tunai serta tidak membawa wang yang banyak bagi mengelakkan diri daripada menjadi sasaran penjenayah.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-4048 2206,” ujarnya.

Terdahulu, satu video berdurasi sembilan saat tular di laman sosial Facebook memaparkan seorang lelaki dipercayai suspek yang cuba meragut sedang terbaring di atas jalan sambil diacukan dengan sepucuk pistol dengan kedengaran arahan supaya dia tidak cuba melarikan diri. – K! ONLINE

Lelaki rancang serang umat Islam diberkas



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker