Ugut bunuh Ayob Khan: Polis Johor, Selangor lancar siasatan

JOHOR BAHRU: Polis Johor akan bekerjasama dengan Polis Selangor untuk siasatan terperinci bagi mengenalpasti tiga individu dikatakan anggota kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), yang didakwa mahu membunuh Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Ugutan itu diterima Ayob Khan dua minggu lalu menerusi panggilan telefon kepada pegawainya, memaklumkan ada tiga anggota LTTE dari Selangor akan ke Johor untuk membunuh ketua polis berkenaan.

Ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sijil Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini semalam, Ayob Khan berkata, pemanggil itu turut memperincikan maklumat mengenai tiga anggota LTTE terbabit, termasuk alamat rumah mereka.

“Kita sedang buat siasatan, kita juga meminta bantuan Polis Selangor berhubung isu ugutan bunuh ini. Ugutan bunuh bukan baharu bagi saya, tetapi saya tidak akan ambil ringan jika ia ditujukan kepada saya secara peribadi atau pegawai saya.

“Kita akan jalankan siasatan terperinci untuk kenal pasti suspek,” katanya sambil menambah, motif ugutan berkenaan tidak dapat dipastikan setakat ini.

Katanya, sejak menyandang jawatan Ketua Polis Johor pada Februari lalu, beliau sudah tidak terbabit dalam sebarang kes berkaitan keganasan.

“Saya tidak pasti berkaitan apa isu ugutan itu kerana saya sudah meninggalkan tugas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti-Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman sejak menyandang jawatan Ketua Polis Johor, Februari lalu.

“Saya tidak buat (siasat) isu keganasan lagi selepas itu. Jadi saya tidak pasti mengapa (motif ugutan), mungkin kerana LTTE akan dikeluarkan dari senarai pengganas oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), itu juga tidak dapat dipastikan.

“Mungkin ada pihak tertentu cuba memanaskan kembali isu ini,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker