50 rangka anjing ditemukan dalam plastik hitam

SEREMBAN: Kira-kira 50 rangka bangkai anjing ditemukan di dalam bungkusan plastik hitam di Jalan Seremban-Mantin dekat sini berhampiran hutan simpan dipercayai dibuang pihak bertanggungjawab selepas melupuskan haiwan berkenaan.

Pengasas Malaysian Independent Animal Rescue (MIAR), T. Pusparani berkata, dia terkejut apabila menerima aduan daripada orang awam terdapat bangkai anjing yang dilupus secara kejam.

Ujarnya, dia menerima aduan berkenaan kira-kira tiga hari lalu daripada seorang individu yang melalui Jalan Seremban-Mantin berhampiran hutan simpan kekal terbau sesuatu yang busuk.



Menurutnya, sebaik tinjauan di kawasan berkenaan, terdapat bungkusan plastik hitam yang di dalamnya terdapat banyak rangka anjing termasuk anak anjing.

“Pagi ini kita ke lokasi aduan bagi melihat sendiri kebenaran aduan yang dibuat. Sebaik sampai di lokasi cerun serta curam berkenaan, bau busuk terlalu kuat dan kita melihat terdapat kira-kira 50 ekor bangkai anjing dilupuskan dengan cara yang kejam.

“Sepatutnya setiap binatang yang mati perlu ditanam dan bukannya dibuang seperti ini. Ini sangat menyedihkan saya sebagai aktivis yang melindungi anjing serta kucing sejak lebih 10 tahun lalu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini

Pusparani mengakui masalah anjing merupakan masalah yang tidak pernah selesai namun ia bukanlah sesuatu yang perlu diabaikan daripada segi kaedah atau perlaksanaan tindakan bagi mengatasinya.



Menurutnya, ada pihak mengambil langkah membunuh anjing bagi mengatasi populasi anjing namun anjing tetap juga banyak di negara ini.

“Langkah terbaik yang boleh kami cadangkan ialah setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh bekerjasama dengan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) seperti kami untuk menyerahkan anjing atau kucing terbiar.

“Terbaharu, kami telah bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Kajang dan akan mengambil beberapa ekor anjing untuk ditempatkan di tempat perlindungan haiwan kami,” katanya.

Menurutnya, anjing yang diambil akan melalui proses kuarantin, diberi vaksin dan dikasikan sebelum sedia untuk diambil oleh mana-mana individu yang ingin membela haiwan berkenaan. – UTUSAN ONLINE



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker