Prof Diraja Ungku Aziz : Tokoh Yang Membantu Tingkatkan Martabat Melayu & Golongan Miskin

Semalam kita telah di khabarkan dengan berita kehilangan seorang tokoh cendiakawan ulung yang paling disegani terutama dalam mencorak sebahagian besar bidang pendidikan, agama, ekonomi negara dan juga seorang tokoh yang sering menjaga serta meningkatkan martabat kaum Melayu ini.

 

Beliau ialah Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid. Beliau telah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 98 tahun akibat sakit tua.

Keturunan diraja Johor

Beliau merupakan keturunan diraja Johor. Bapanya, Ungku Abdul Hamid Ungku Abdul Majid merupakan seorang Leftenan dalam pasukan tentera Timbalan Setia Negeri Johor (JVC) dan ibunya merupakan seorang rakyat Turki yang beragama Islam.

Dilahirkan pada tahun 1922 di London, England dan mendapat pendidikan menengah di English College, Johor Bahru. Memperoleh Diploma Sastera di Raffles College, Singapura pada tahun 1947 dan Bacelor Sastera (Kepujian) Ekonomi dari Universiti Malaya, Singapura pada tahun 1951.

 

Pada tahun 1952 beliau telah mengorak langkah ke alam akademik apabila diterima sebagai pensyarah dalam bidang ekonomi di Universiti Malaya (UM).

Beliau telah berkahwin dengan Sharifah Azah Aziz dan telah dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Y.M. Tan Sri Dato’ Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia. Beliau juga merupakan sepupu kepada salah seorang tokoh ilmuan terkemuka tanah air dan dunia Islam iaitu Y.M. Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Pengasas penubuhan Tabung Haji

Beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Ungku telah mengemukakan kertas kerja bertajuk  “Rancangan Membaiki Keadaan Ekonomi Bakal-bakal Haji” kepada kerajaan.

Dengan idea luar biasanya itulah wujudnya Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji (PWSBH) pada tahun 1962 dan mula beroperasi pada 1963 bagi mengendalikan urusan orang-orang beragama Islam menunaikan Fardhu Haji lebih mudah tanpa perlu menggadaikan harta benda (sebelum adanya Tabung Haji).

Saya lihat orang kampung akan menjual kambing, kerbau atau tanah mereka untuk menunaikan haji. Sekembalinya mereka dari sana, mereka tiada ternakan dan sumber rezeki lagi.” – Ungku Aziz.

Untuk mempertingkatkan lagi perkhidmatan dan kemudahan kepada para jemaah, perbadanan tersebut telah dicantumkan dengan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji. Maka dari situ lahirlah Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH)

“Penubuhan Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) sebenarnya adalah untuk membantu ekonomi orang Melayu pada jangka masa yang panjang.” – Ungku Aziz.

Pada tahun 1997, nama LUTH telah digantikan dengan nama baru iaitu Lembaga Tabung Haji (LTH) dan kekal sehingga kini.

Meningkatkan taraf orang Melayu

Bukan sekadar Tabung Haji, malah beliau turut merupakan tokoh penting dalam gagasan koperasi tanah air, termasuk Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa)

Allahyarham juga pencetus kepada idea penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka serta Pusat Asasi Sains di UM untuk membantu orang Melayu dalam kalangan golongan miskin.

Beliau turut merupakan salah seorang yang terbabit dalam merangka Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi membantu bumiputera menikmati agihan kekayaan negara serta Majlis Perundingan Ekonomi Negara (Mapen) II.

Untuk pengetahuan, Allahyarham jugalah yang mencetuskan idea Akademi Islam serta merupakan Ahli Majlis Tadbir Urus, Pusat Pengajian Kewangan Islam Antarabangsa, Bank Negara Malaysia (INCEIF Governing Council) (2006-2009)

Kredit: Bawang Rangers

Ini Latar Belakang Allahyarham Profesor Diraja Ungku Aziz – Cendekiawan Ulung Melayu Moden

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker