Ini Latar Belakang Allahyarham Profesor Diraja Ungku Aziz – Cendekiawan Ulung Melayu Moden

Sebagai antara cendekiawan yang tersohor di negara ini. Bukan sedikit buah fikirannya disumbangkan atas kepentingan negara terutama orang Melayu. Walaupun sudah berusia
96 tahun, idea-ideanya terus relevan dengan perkembangan hari ini. Maka, kita harus selusuri sejarah figura ilmuan hebat ini sebagai inspirasi kepada generasi yang mendatang.

Lahir pada 28 Januari 1922 di London, beliau mempunyai darah kerabat diraja Johor menerusinya bapanya Leftenan Ungku Abdul Hamid Ungku Abdul Majid yang pernah
berkhidmat bersama Pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSNJ/JMF) sementara bondanya Hamidah Abdullah berdarah Turki.

Bagaimanapun, hasrat Ungku Aziz bermanja dengan bonda tercinta tidak kesampaian apabila Hamidah kembali ke rahmatullah pada tahun 1924 semasa beliau berusia dua tahun. Beliau mewarisi kebijaksanaan ayahandanya yang pernah menuntut di Universiti Cambridge dan boleh menguasai tiga bahasa iaitu Arab, Parsi dan Sanskrit. Dari segi hubungan kekeluargaan, beliau merupakan sepupu kepada Al-Attas bersaudara (Syed Hussein, Syed Muhammad Naquib dan Syed Zedal) dan Sultan Ibrahim ibni Sultan
Abu Bakar dari sebelah bapanya. Isterinya ialah budayawan terkenal Allahyarhamah Azah
Aziz di mana hasil perkahwinan mereka mengurniakan seorang cahaya mata iaitu Tan Sri
Zeti Akhtar Aziz. Tan Sri Zeti pernah berkhidmat sebagai Gabenor Bank Negara (2000-
2016) dan kini mengisi jawatan Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Kebanyakan masa kecilnya dihabiskan di Batu Pahat dan Johor Bahru. Beliau boleh saja
dibesarkan di London tetapi ayahandanya mahukan Ungku Aziz membesar dalam
persekitaran dan kehidupan sebagai seorang Melayu.



Pemimpin ucap takziah kepada keluarga Ungku Aziz

Pada tahun 1934, Ungku Aziz menyelesaikan pendidikan rendahnya dan selepas itu, beliau menyambung pendidikan
menengah di Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru dan Kolej Raffles, Singapura.
Pendidikannya bagaimanapun tertangguh seketika berikutan peristiwa pendudukan Jepun
di Tanah Melayu semasa Perang Dunia Kedua. Selepas tamat perang, beliau menyambung
pengajian di Universiti Malaya, Singapura dan memperoleh ijazah dalam bidang ekonomi.
Ungku Aziz turut memperoleh ijazah Doktor Falsafah di Universiti Waseda, Jepun dalam
bidang ekonomi sekaligus menjadikannya anak Melayu pertama yang melanjutkan
pelajaran di situ.



Selepas tamat pengajian dari Universiti Malaya di Singapura, Ungku Aziz menyertai
Perkhidmatan Awam Johor (JCS) pada tahun 1951. Bagaimanapun, tempoh
perkhidmatannya tidak bertahan lama apabila beliau dilamar alma maternya sebagai
pensyarah ekonomi dari tahun 1952 hingga 1961. Pada tahun 1961, Ungku Aziz kembali ke
Tanah Melayu dan berkhidmat sebagai Profesor dan Dekan Fakulti Ekonomi di Universiti
Malaya, Kuala Lumpur. Pada Oktober 1968, beliau dilantik sebagai Naib Cancelor Universiti
Malaya menggantikan Dr J.H.E Griffiths dan berkhidmat selama 20 tahun.

Al-Fatihah: Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Meninggal Dunia

Tabung Haji



Salah satu masalah yang menarik perhatian beliau ialah masalah kemiskinan dan ini
banyak ditekankan dalam pelbagai rencana dan pembentangan. Malah, tidaklah
mengejutkan sekiranya Ungku Aziz dianggap ahli ekonomi pertama negara ini yang
menyimpulkan punca utama masalah kemiskinan ialah eksploitasi dan pengabaian yang
menjejaskan pembangunan individu dan masyarakat. Sebelum beliau, pentadbir era
kolonial dan orientalis Barat sentiasa menyalahkan sikap malas bangsa Melayu dan
kuatnya pegangan agama Islam sebagai punca kemiskinan.

Dan mitos tersebut diteruskan oleh sesetengah orang sehingga hari ini walaupun sudah
dibuktikan sebaliknya bukan saja oleh Ungku Aziz tetapi juga oleh filsuf ulung Melayu dan
sepupunya sendiri, Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas. Menurut beliau, masalah ini
berlaku disebabkan oleh pengabaian bersifat sistematik oleh pentadbiran British yang
diteruskan pentadbiran pasca-kemerdekaan dan eksploitasi orang tengah serta peminjam
wang. Situasi sebegini nyata memberi kesan bukan saja pada taraf hidup tetapi juga
kekuatan ekonomi kelompok miskin luar bandar.

Hasil daripada pendedahan ini, Ungku Aziz berusaha mencari jalan menamatkan bentuk
penganiayaan dan pengabaian yang memberi kesan buruk kepada taraf ekonomi orang
Melayu dan Islam. Salah satu idea beliau ialah penubuhan Tabung Haji hasil dari
cadangannya kepada pihak kerajaan pada tahun 1959 melalui Pelan Penambahbaikan
Ekonomi Jemaah Haji Muslim. Pelan tersebut bertujuan membantu menambahbaik taraf
ekonomi orang Melayu Islam dengan menubuhkan sebuah syarikat. Menurut Ungku Aziz,
idea di sebalik Tabung Haji ialah membantu taraf ekonomi bakal jemaah yang menyimpan
wang untuk belanja haji di mana kebanyakan mereka terdiri daripada kelompok miskin
luar bandar.

Pemergian Ungku Aziz kehilangan besar buat negara – Agong



Idea ini timbul hasil kajian yang dilakukan di beberapa tempat di Malaysia dan ianya
dibentangkan di bawah tajuk ‘The Mobilisation of Domestic Savings in South East Asia’ di
Bangkok pada tahun 1951. Menerusi kajian ini, Ungku Aziz mahu melihat bagaimana orang
Melayu menyimpan wang dan mengapa mereka berbuat demikian. Hasil kajiannya
mendapati orang Melayu takut menyimpan wang di bank ketika itu kerana bimbang wang
tersebut bercampur dengan hasil riba. Selain itu, beliau turut mendapati tujuan utama
orang Melayu menyimpan wang sebagai duit belanja semasa perjalanan haji dan umrah.

Selain menyimpan wang, mereka turut menggunakan wang tersebut untuk membeli
binatang ternakan. Binatang-binatang ini kemudiannya dijual bila sudah tiba masa untuk
melakukan perjalanan ke Baitullah.

Dan jika mereka merasakan wang simpanan dan penjualan binatang masih belum
mencukupi untuk membiayai urusan haji, orang Melayu juga tidak keberatan menjual
tanah mereka. Menurut Ungku Aziz, tindakan sebegini menyebabkan mereka menjadi
lebih miskin sekembalinya dari perjalanan haji dan secara tidak langsung, menjejaskan
ekonomi orang Melayu. Untuk mengelakkan budaya buruk ini berterusan dan
menggalakkan orang Melayu belajar menyimpan demi masa hadapan mereka, maka ini
yang membawa kepada penubuhan Tabung Haji.



Penubuhan Tabung Haji dianggap antara yang pertama seumpamanya di dunia dari segi
pemikiran ekonomi dan institusi agama Islam. Namun bagi orang Islam, sistem sama
sudah wujud yang dikenali sebagai sistem sheikh tetapi dalam bentuk skala kecil. Idea
Tabung Haji ini bukan saja mengubah waktu perjalanan dan tempoh penginapan para
jemaah yang berangkat ke Baitullah tetapi juga memberi peluang kepada lebih ramai
orang Islam mengerjakan dalam tempoh 60 tahun dari Malaysia. Selain itu, pengenalan
institusi ini juga menggalakkan budaya menyimpan wang dalam kalangan orang Melayu
Islam.

Walaupun Tabung Haji masih belum memenuhi sebahagian mandat asal Ungku Aziz tetapi
dari segi nilai ekonomi, ia merupakan entiti korporat bernilai berbilion ringgit dan
menguruskan pelbagai pelaburan mengikut prinsip syarak. Ini menyebabkan banyak
negara Islam mengagumi kejayaan Tabung Haji terutama dalam soal pengurusan jemaah

haji dan mahu mempelajari bagaimana Malaysia dapat mewujudkan sebuah sistem
pengurusan dana jemaah haji yang baik. Malah, ramai pakar ekonomi Muslim
menganggap Tabung Haji salah satu kejayaan entiti korporat terhebat di dunia.
Tetapi selepas 20 tahun penubuhannya, Ungku Aziz merasakan masih ada ruang yang
boleh ditambahbaik. Pertama, beliau merasakan cadangan asalnya untuk menggerakkan
simpanan membabitkan warga luar bandar masih belum direalisasikan. Kedua, Ungku Aziz
merasakan Tabung Haji seharusnya menggalakkan umat Islam menyimpan bagi kegunaan
lain yang bermanfaat seperti pendidikan dan tidak menamatkan simpanan selepas
mereka selesai menunaikan haji.

Ketiga, beliau juga mencadangkan keuntungan modal yang diraih dari pelaburanpelaburan yang dibuat harus diagih-agihkan kepada para penyimpan dengan tujuan dapat
merancakkan lagi ekonomi ummah dan bukan setakat meraih keuntungan bagi pihak
Tabung Haji semata-mata. Menurut beliau, sekiranya semua ini dapat direalisasikan, ia
sebenarnya dapat memenuhi tuntutan fardu kifayah dalam soal kemiskinan. Ini kerana
bila kemiskinan dapat dibanteras, ia memberi peluang kepada orang Islam
membangunkan diri mereka dalam pelbagai aspek kehidupan sekaligus mewujudkan
keadilan dari segi sosioekonomi.



Malah, hasrat beliau ini bersesuaian dengan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu
Said al-Khudri r.a: Pada suatu hari, Rasulullah telah memasuki masjid (baginda) dan
mendapati seorang lelaki Ansar yang dipanggil Abu Umamah. Rasulullah bertanya, “Wahai
Abu Umamah, kenapa aku tak ada nampak pun engkau duduk-duduk di masjid semasa
waktu solat?”Abu Umamah menjawab, “Kerisauan dan hutang-hutang memaksaku
demikian, Ya Rasulullah.”

Baginda kemudiannya bertanya, “Adakah engkau mahu jika aku ingin mengajarmu katakata yang apabila engkau menyebutnya Allah akan membawa pergi kerisauanmu dan
melunaskan hutangmu? Abu Umamah menjawab, “Sudah tentu, Ya Rasulullah!” Rasulullah
s.a.w kemudian bersabda, “Ucapkanlah ketika pagi dan petang: Ya Allah, sesungguhnya
aku berlindung dari-Mu daripada kerisauan, kesedihan, rasa lemah-lemah (badan) dan
sifat malas, juga daripada sifat penakut dan kedekut, serta dari belenggu hutang dan
penganiayaan (perlakuan keras/kasar) manusia terhadapku.”Abu Umamah berkata,
“Justeru aku telah mengamalkannya, maka Allah telah menghilangkan kerisauanku dan

terlunas semua hutang-hutangku.” Ini menunjukkan betapa tegasnya Nabi s.a.w terhadap
isu kemiskinan kerana ia berpotensi merosakkan potensi manusia bukan saja pada
peringkat individu tetapi juga pada peringkat masyarakat dan negara.
Pendidikan
Isu pendidikan amat dititikberatkan Ungku Aziz terutama di peringkat universiti kerana
dilihat dapat membantu pembangunan orang Melayu pada peringkat individu dan
masyarakat. Maka tidak hairanlah sepanjang tempohnya sebagai Naib Cancelor Universiti
Malaya (UM) selama 20 tahun, misi pendidikannya bukan saja menghasilkan graduan
tetapi graduan yang boleh membantu menyelesaikan masalah budaya, ekonomi dan sosial
yang dihadapi negara.

Sesuatu yang disedari Ungku Aziz ialah orang Melayu tidak berapa cemerlang dalam
banyak bidang berbanding bangsa-bangsa lain dalam soal ekonomi moden. Salah satu
puncanya ialah kekurangan peluang pendidikan dan satu-satunya universiti yang dimasuki
orang Melayu mengajar kebanyakan jurusannya dalam Bahasa Inggeris. Ini bermakna
pelajar yang datang dari sekolah Melayu akan berhadapan kesukaran memasuki universiti
atau belajar dengan baik. Masalah ini membawa kepada penubuhan Pusat Pengajian Asas
Sains (Centre for Foundation Studies in Science) bagi membantu para pelajar yang datang
dari keluarga miskin.

Berdasarkan pengalamannya pada tahun 1970-an, hanya lima pelajar Melayu yang
mendaftar dengan fakulti perubatan dan jika bernasib baik, dua atau tiga sahaja yang
tamat pengajian sebagai doktor. Untuk mengatasi masalah berkenaan, UM turut
mengorak langkah dengan menubuhkan pusat matrikulasi dan merekrut pelajar-pelajar
luar bandar yang berminat mempelajari bidang kritikal seperti perubatan, sains dan
kejuruteraan.

Ungku Aziz menambah, “Pada ketika itu, pelajar bandar akan pergi ke London untuk
menyambung pengajian perubatan. Tetapi dalam fakulti, pensyarahnya mengajar dalam
Bahasa Inggeris sementara anak-anak Melayu yang terpilih berfikir secara Melayu. Terma
bukan satu masalah tetapi mindanya yang berfikir secara Melayu. Atas sebab itu, kami
mencari guru-guru yang boleh mengajar perubatan dan bidang berkaitan dalam Bahasa
Melayu.”

Selepas tiga atau empat tahun persediaan, anak-anak Melayu ini dapat menguasai jurusan
mereka dan ini memotivasikan mereka untuk memperbaiki kemahiran Bahasa Inggeris
mereka. Sejak ditubuhkan pada tahun 1977, Pusat Matrikulasi UM sudah melahirkan lebih
2,000 doktor, 800 doktor gigi dan 2,600 jurutera. Sementara 7,000 hingga 8,000 graduan
dilahirkan Pusat Pengajian Asas Sains di mana sesetengah daripadanya menjadi pakar
dalam bidang masing-masing dan semakin menghampiri usia persaraan.

Bagaimanapun, itu tidak bermakna Ungku Aziz melupakan pembangunan rohani orang
Melayu terutama berkenaan nilai moral dan etika. Antara kebimbangan beliau ialah
kehilangan jati diri bangsa sesetengah anak-anak Melayu yang terpengaruh dengan
pelbagai falsafah dari Timur dan Barat. Kebimbangan anak jati London ini ada asasnya
kerana beliau sedar perubahan yang dibawa negara-negara Barat dalam mengejar
kemajuan dengan mengetepikan nilai moral dan etika kononnya atas nama pembangunan
dan kemajuan. Beliau bimbang pandangan sempit masyarakat yang menyamakan
kejayaan dengan nilai material sebenarnya merosakkan rohani dan jati diri bangsa Melayu
itu sendiri.

Dan melihat kepada pembangunan yang berlaku hari ini, walaupun Melayu semakin maju
dari segi ekonomi dan materialnya tetapi dari segi nilai moral dan etika, ia merupakan satu
tragedi. Ungku Aziz melihat pembangunan seharusnya seiring bukan saja dengan
kemajuan material tetapi juga dengan penambahbaikan jati diri dan rohani bangsa Melayu
itu sendiri. Dan menurut beliau, orang Melayu seharusnya berusaha berpegang kepada
tiga nilai yang membentuk sebuah masyarakat yang hebat iaitu jujur, ikhlas dan telus.

Kenyataan Ungku Aziz ini dilihat jauh ke hadapan berbanding teori-teori ekonomi yang
dibawa pemikir-pemikir Barat yang dilihat kosong dari segi moral dan agama. Malah
ideanya turut mendapat sokongan Pemenang Hadiah Nobel Amartya Sen yang melihat
ekonomi tanpa etika merosakkan ekonomi kebajikan. Sen menambah ekonomi akan
menjadi lebih produktif dengan memberi lebih banyak tumpuan kepada pertimbangan
etika yang membentuk tingkah laku dan pertimbangan manusia.
Sejarah dan warisan bangsa

Sejak tahun 1980-an, Ungku Aziz aktif mempromosikan kajian sastera dan warisan
intelektual orang Melayu. Menerusi satu temubualnya dengan akhbar New Straits Times
beliau berkata, “Kajian sastera dan warisan manusia tidak seharusnya dilupakan walaupun
ketika Malaysia sedang bergerak menuju ke arah masyarakat saintifik dan progresif pada
abad seterusnya. Ini kerana manusia tidak boleh hidup dengan sains sahaja kerana ia
memerlukan tambahan budaya dalam mindanya. Terdapat banyak contoh negara-negara
maju di mana pencapaian saintifiknya diseimbangkan dengan sistem pendidikannya yang
menggalakkan penuntutnya menghargai mahakarya dulu dan sekarang serta mengenali
hasil kerja dan usaha manusiawi sepanjang zaman dan merentasi negara-negara.”

Misalnya, Ungku Aziz menggalakkan orang Melayu mempelajari pemikiran orang Melayu
pada masa silam kerana asas pemikiran mereka ini boleh diceduk, diadaptasi dan
disesuaikan mengikut situasi dihadapi orang Melayu hari ini. Kenyataan ini sebenarnya
menunjukkan persetujuannya dengan kenyataan sepupunya sendiri, Syed Muhammad
Naquib. Ini kerana filsuf agung Melayu itu merasakan pemikiran orang Melayu zaman
silam masih relevan dalam menyelesaikan masalah moden.

Antara sebab orang Melayu merasa jauh dengan budaya dan warisan intelektual silam
disebabkan faktor penjajahan. Berdasarkan kajian peribadinya berkenaan pantun dan
rekod sejarah orang Melayu, bangsa Melayu sudah dikenali sebagai pedagang yang hebat
dan dapat bersaing di peringkat antarabangsa. Ungku Aziz menambah, “Pedagang Melayu
masuk ke belantara dan mengutip hasil untuk ditukar dengan pedagang China, India dan
negara-negara lain. Mereka sudah berlayar sekitar perairan Nusantara dan mempunyai
kompas tersendiri dipanggil pedoman.

Ini menunjukkan Timur itu sudah bertamadun dan
kita sudah ada pedagang-pedagang Melayu jauh sebelum kedatangan Barat di Nusantara.”
Bersesuaian dengan pendiriannya yang menekankan warisan kesusasteraan Melayu,
Ungku Aziz menyokong penggunaan Bahasa Melayu sebagai alat pengajaran dalam sistem
pendidikan kebangsaan atas sebab perpaduan nasional. Beliau juga bertanggungjawab
dalam pembentukan Universiti Malaya, di mana amat penting bagi sebuah negara
berbilang bangsa seperti Malaysia untuk mencapai perpaduan sebenar tanpa
mengabaikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perdagangan dalam dunia tanpa sempadan.

Dalam satu temubualnya bersama NST pada tahun 2008, beliau berkata, “Bahasa Melayu
itu merupakan satu-satunya cara untuk mencapai perpaduan kebangsaan sebenar.
Pada masa sama, Bahasa Inggeris perlu dikuasai bagi mendapatkan faedah sepenuhnya
globalisasi.” Atas sebab itu, beliau mencadangkan penggunaan dua bahasa dalam
pengajaran dan pembelajaran untuk sistem pendidikan kebangsaan serta patut dimulakan
di bangku sekolah lagi. Bagi memastikan penguasaan sepenuhnya kedua-dua bahasa
berkenaan, Ungku Aziz mencadangkan ia patut dipelajari dan dikuasai dalam tempoh 11
tahun pembelajaran dan jika boleh, tahun pertama pengajian universiti. Beliau menambah
bahasa seharusnya dipandang serius kerana ia merupakan alat perpaduan dan patut
diajar sekurang-kurangnya dua tempoh dalam seminggu.

Satu lagi kebimbangan Ungku Aziz berkenaan orang Melayu ialah pemahaman agama
dalam kalangan masyarakat. Ini kerana menurutnya, orang Melayu tidak menerima
sepenuhnya agama berikutan perubahan sosial dalam masyarakat. Beliau menambah,
“Mereka tahu tentang rukun-rukun tetapi mereka tidak mempunyai masa membangunkan
kestabilan dan belajar untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian.” Bagi
mempromosikan idea menambah kefahaman agama, Ungku Aziz selalu mempromosikan
idea dari Tamadun Islam. Ini diperlihatkan menerusi penubuhan Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya di mana pada awalnya, beliau dihubungi oleh wakil Yayasan Pengajian
Tinggi Islam Kelantan. Menerusi hubungan tersebut, mereka mahu menggabungkan atau
mencampurkan institusi berkenaan dengan UM bagi membolehkan pelajar-pelajarnya
mendapat kelulusan universiti.

Pada tahun 1975, idea tersebut diterima Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul
Razak Hussein. Selepas ia dibentangkan di hadapan Majlis Senat Universiti, ia mendapat
persetujuan pihak majlis. Dalam kertas tersebut, beliau turut mencadangkan para pelajar
diterapkan semangat berdikari dan melihat kepentingan pembangunan negara. Bagi
mencapai agenda berkenaan, beliau mencadangkan satu konsep baru bagi akademi di
mana kampus mempunyai sebuah ladang bagi membolehkan pelajar menanam sayursayuran, menternak haiwan dan ikan air tawar. Hasil ladang boleh menjadi sumber
bekalan makanan penduduk kampus dan ia boleh menjadi tempat bagi para pelajar
bersenam dan bermeditasi. Idea radikal ini diinspirasikan dari pembacaan Ungku Aziz
berkenaan sistem madrasah yang digunakan Tamadun Islam zaman silam.

Pada tahun 1985, Ungku Aziz juga bertanggungjawab memperkenalkan kursus Tamadun
Islam sebagai kursus pilihan yang ditawarkan kepada semua pelajar sama ada beragama
Islam atau bukan beragama Islam. Beliau menekankan kursus tersebut bukan menjurus
kepada proses Islamisasi tetapi sebaliknya memberi peluang kepada pelajar bukan
beragama Islam mempunyai pemahaman lebih mendalam terhadap Islam terutama dari
segi tamadun.

Kursus tersebut seharusnya tidak patut diendahkan kerana minat terhadap Islam di dunia
sudah tidak boleh diendahkan. Ini juga menunjukkan kesungguhan Ungku Aziz bahawa
Tamadun Islam turut menyumbang kepada kemajuan dunia. Sepanjang tempoh beliau
selama 20 tahun sebagai Naib Cancelor, Ungku Aziz banyak meluluskan program
pendidikan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa yang berkait dengan Tamadun Islam

Selain Tamadun Islam, beliau mempunyai minat mendalam terhadap kesenian Islam dan
warisan kesusasteraannya. Ungku Aziz merasakan ia dapat mengisi kekosongan dalam
kesenian Melayu dan seharusnya diperkenalkan pada peringkat sekolah dan universiti.
Beliau turut merasakan Islam seharusnya ditonjolkan keindahannya melalui seni dan
kesusateraan terutama seni kaligrafi kerana ia menyedarkan orang ramai terutama umat
Islam sendiri bahawasanya Tamadun Islam juga kaya dengan warisan seni dan
kesusasteraannya.

Atas sebab itu semasa berada di UM, pelbagai pameran membabitkan seni dan
kesusasteraan Islam dianjurkan di situ bagi mencetuskan kesedaran dalam kalangan
orang ramai. Selain itu, Ungku Aziz merasakan Melayu yang mendabik diri mereka sebagai
intelektual seharusnya boleh mengenali abjad-abjad Jawi dalam buku-buku sastera abad
ke-18 dan ke-19 atau sekurang-kurangnya, tulisan Arab yang berbeza. Ini sebenarnya
merupakan amalan biasa yang dilakukan kelompok cendekiawan Islam silam.
Dasar Ekonomi Baru

Isu perbezaan taraf ekonomi dan kemiskinan tegar bukan satu isu baru yang dihadapi
mana-mana negara termasuk Malaysia. Dan bagi Ungku Aziz, isu ini amat dekat dengan
hatinya dan mendorongnya membuat pelbagai kajian mengatasi kemiskinan. Melalui
penyelidikannya itu, beliau mewujudkan formula Indeks Sarong sebagai cara mengukur
tahap kemiskinan dan mengadakan teori pengabaian sebagai punca kemiskinan luar
bandar. Tiga punca kemiskinan luar bandar ialah produktiviti yang rendah, diskriminasi
dan halangan institusi kerajaan. Menurut beliau, sekiranya isu ini tidak ditangani dengan
segera, ia boleh mengakibatkan orang Melayu terus ketinggalan.

Dan laporan insiden 13 Mei 1969 turut merumuskan perkara sama yang dibangkitkan
Ungku Aziz dan Pendeta Za’ba sejak beberapa tahun sebelumnya. Atas sebab itulah, Dasar
Ekonomi Baru diperkenalkan oleh Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein pada
tahun 1971 di mana dasar-dasar ini mendapat input pakar-pakar ekonomi ketika itu
seperti Tan Sri Dr Just Faaland dan Ungku Aziz sendiri. Hasilnya, kadar kemiskinan dilihat
mengalami pengurangan daripada 49.3% dalam tahun 1970 kepada 29.2% dalam tahun
1980. Anggaran jumlah isi rumah miskin juga mengalami penurunan daripada kira-kira
791,800 orang dalam tahun 1970 kepada 666,100 orang dalam tahun 1980.

Sementara tingkat pendapatan penduduk dalam kumpulan 40% terendah dalam agihan
raiz pendapatan di Semenanjung Malaysia yang merupakan sebahagian besar daripada
penduduk miskin bertambah baik. Purata pendapatan bulanan isi rumah dalam kumpulan
ini bertambah daripada RM75.90 (1970) kepada RM142.19 (1976). Menjelang tahun 1979,
pendapatan ini meningkat kepada RM186.19, kira-kira 145% lebih tinggi daripada tahun
1970. Pertambahan ini menunjukkan kedudukan pendapatan yang lebih baik bagi
kumpulan miskin yang ditentukan.

Dari segi agihan pendapatan dalam kalangan kaum, bahagian pendapatan purata kaum
Melayu daripada pendapatan purata negara meningkat daripada 65.2% (1970) kepada
67.3% (1979). Pendapatan purata kaum Cina masih melebihi pendapatan purata negara,
tetapi pendapatan purata kaum Cina berkurangan daripada 149% (1970) kepada 144%
(1979). Bahagian Pendapatan purata kaum India daripada pendapatan purata negara
berkurangan daripada 115% dalam tahun 1970 kepada 102% dalam tahun 1979.
Perbezaan pendapatan antara luar bandar dan bandar didapati berkurangan dalam
tempoh yang sama.

Melihat kepada statistik inilah, DEB terus diperjuangkan dan teras dasarnya terus
bertahan menerusi pelbagai dasar ekonomi yang wujud hari ini. Kejayaan DEB ini juga
turut menjustifikasikan kenyataan Ungku Aziz bahawa DEB membantu orang Melayu terus
bersaing dan yakin membina pencapaian mereka. Beliau juga menolak sistem meritokrasi
dan menganggap ia masih belum sesuai dilaksanakan atas alasan jurang pendapatan
antara golongan bandar dengan golongan luar bandar masih jauh.
Anugerah

Atas jasa yang tidak ternilai harganya kepada dunia akademik dan negara, Ungku Aziz menerima pelbagai anugerah di dalam dan
luar negara. Pada tahun 1978, beliau dianugerahkan gelaran Profesor Diraja Ekonomi oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong dalam
bidang Pembangunan Luar Bandar. Selain itu, Ungku Aziz turut menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1997, Japan Foundation
Award (1981), Tokoh Koperasi Negara (2002) dan Anugerah Akademik Negara (2006). Beberapa tempat turut mengabadikan
namanya seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Ungku Aziz, Sabak Bernam dan dua fasiliti Universiti Malaya iaitu Dewan Ungku
Aziz dan Kolej Kediaman Ungku Aziz.

RUJUKAN:

1. Saat, Ishak, Ariffin, Khairi dan Mamat, Mohamad Asrol Arpidi. (2014). Impak Dasar Ekonomi Baru ke atas Peningkatan Ekonomi
Bumiputera Selepas Tragedi 13 Mei 1969. Jurnal Perspektif Jil. 6 Bil. 3 Universiti Pendidikan Sultan
Idris. http://ir.upsi.edu.my/2297/1/Impak%20Dasar%20Ekonomi%20Baru%20ke%20atas%20peningkatan%20ekonomi%20bumipute

2. The Merdeka Award. Royal Professor Ungku Abdul Aziz Bin Ungku Abdul Hamid. http://www.merdekaaward.my/Recipients/ByCategory/Education-Community/Royal-Professor-Ungku-Abdul-Aziz-Bin-Ungku-Abdul-H.aspx

Moustapha Abbas
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone
Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan,
manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita
yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Kredit: The Patriota.Asia

 

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker