UMNO perlu ketuai gagasan besar

Cadangan untuk mewujudkan gagasan besar antara Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) boleh dipersetujui dengan syarat UMNO mengetuai gabungan itu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, syarat itu dilihat munasabah dengan kedudukan parti itu yang memiliki jumlah kerusi ahli Parlimen lebih besar berbanding parti lain.

“Demi kepentingan dan kelangsungan kuasa orang Melayu, mesti ada satu gabungan besar dan ia mesti datang secara praktikal.

“Contohnya sekarang, nombor satu UMNO adalah parti yang besar. Jadi adalah munasabah dan patut UMNO diletakkan sebagai ketua kepada gabungan ini.



“Antara sebabnya untuk permudahkan pentadbiran dari sudut pengurusan ahli politik yang lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) juga perlu dipertimbangkan untuk diadakan segera sebaik pandemik Covid-19 dapat dikawal.

Menurutnya, langkah itu penting untuk mendapatkan satu keputusan yang lebih stabil dan dipercayai.

“Sebabnya tiada alasan lain kalau gabungan itu pergi kepada PRU15 dan kesepakatan diwujudkan, saya rasa kemenangan besar akan diperolehi,” katanya.



Sementara itu, Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, dengan adanya gabungan sedemikian, ia diyakini memberi peluang kemenangan yang lebih besar pada PRU15.

“Sesiapa sahaja tidak boleh menyangkal apabila bersatu, sememangnya kita akan kuat dan mampu membina masa depan negara dengan lebih rancak dan stabil.“Politik akan dibentuk dengan suasana paling stabil yang tidak pernah berlaku sejak merdeka kalau kita boleh capai penyatuan itu,” katanya.

Beliau berkata, mengambil contoh kemenangan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini juga memperlihatkan gabungan besar memainkan peranan penting dalam menggerakkan jentera.

Katanya, meskipun kelahiran gabungan itu baru sahaja didaftarkan dan pertama kali diperkenalkan pada PRN Sabah lalu, namun jelas ia memberikan impak positif.



Bekas Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muzzammil Ismail pula menyifatkan gabungan tersebut sebagai sesuatu yang baik demi kepentingan rakyat.

Beliau berkata, persetujuan itu bersyarat dengan melihat bentuk kerjasama yang ingin diwujudkan itu perlu memberi situasi menang-menang kepada semua parti terlibat.

“Maksudnya, kalau kata perbincangan atau jawatankuasa itu lebih kepada ke arah PRU15, makanya ketiga-tiga parti terbesar mestilah berunding secara baik,” katanya. Sinar

Ku Li mahu UMNO ketuai kerajaan

Related Articles

Back to top button
%d bloggers like this:

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker