Matematik apa ini? Najib persoal hutang FELDA bertambah jadi RM10.7 bilion selepas jual aset
Najib Razak ‘pelik’ bagaimana FELDA menanggung hutang RM10.7 bilion, sedangkan ia dilaporkan menjual aset bagi mengurangkan hutang daripada RM8 bilion kepada RM6.8 bilion pada 2018.
Bekas perdana menteri berkata dalam tempoh dua tahun sejak pengumuman itu, hutang Felda bertambah RM2.7 bilion lagi.
“Aset FELDA dijual kononnya untuk kurangkan hutang RM8 bilion tapi hutang bertambah RM2.7 bilion lagi menjadi RM10.7 bilion selepas aset dijual pula.
“Matematik apa ini?” katanya di Facebook.
Pada Okt 2018, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali, kini menteri kanan ekonomi, berkata FELDA merancang untuk menjual aset bukan strategik di Sabah, Sarawak, dan London – yang dijangka menyumbang RM2.2 bilion – dan melalui kaedah itu FELDA dijangka mengurangkan hutang sebanyak 15%, daripada RM8 bilion sehingga Jun 2018 kepada RM6.8 bilion pada akhir tahun.
Menurut laporan Astro Awani, Azmin menyifatkan keadaan FELDA ketika itu sebagai “kritikal”.
“Siapakah yang jahanamkan FELDA dengan penambahan hutang sebanyak RM2.7 bilion dalam tempoh dua tahun lepas?” soal Najib.
Apa yang lagi pelik, kata Najib, kerajaan menyuntik RM6.23 bilion untuk FELDA pada 2019.
“Hutang FELDA naik lagi ke?” katanya.
Ketika itu Azmin, semasa membentangkan kertas putih ke arah Pelestarian FELDA di Parlimen pada April 2019, berkata bantuan dalam bentuk geran, pinjaman, dan jaminan kerajaan itu bagi memulihkan FELDA.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed hari ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa FELDA menanggung hutang keseluruhan RM10.7 bilion dan sekarang tidak mampu membayar balik beberapa hutangnya, sehingga terpaksa diberikan moratorium ke atas pembayaran balik.
Menurutnya, FELDA mula berhadap masalah kewangan sejak 2013 ekoran kerugian dan kemerosotan pendapatan sebelum cukai, hingga terpaksa membuat pinjaman bagi melancarkan operasi harian dan komitmen perkhidmatannya kepada peneroka.
Penyenaraian FGV Holdings Berhad di Bursa Malaysia pada 2012 juga menyumbang kepada hutang itu, katanya, kerana ia mengakibatkan FELDA kehilangan sumber pendapatan yang penting serta harga kelapa sawit yang kurang memberangsangkan.
“Di samping itu, hutang peneroka yang tinggi serta kadar kutipan hutang yang tidak memberangsangkan turut memburukkan lagi keadaan dan menjejaskan kedudukan kewangan FELDA,” katanya. FMT