Tedung selar menjalar di alang rumah


ALOR SETAR – Seorang lelaki yang sedang mencari barang dalam rumahnya terkejut selepas terjumpa seekor ular tedung selar yang menjalar di alang rumahnya di Kampung Mani, Kuala Nerang dekat sini malam tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Padang Terap, Leftenan Mohd Shukri Shuib berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.53 malam.

“Tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang diketuai Leftenan Muda (PA) Nurul Nadya Yahya tiba di lokasi pada jam 9.05 malam dan mendapati ular tedung itu berada di atas alang rumah berkenaan.

“Anggota kemudiannya mengambil masa selama 15 minit untuk menangkap ular tersebut yang dianggarkan sepanjang tiga meter dan seberat 10 kilogram,” katanya melalui kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, ular berkenaan mungkin tersesat masuk ke rumah itu kerana mengejar tikus.

“Ular jenis tedung selar sangat berbisa dan berbahaya, jika terkena patukannya mangsa boleh maut dalam tempoh tidak kurang 10 minit.

“Pada musim sekarang tedung selar ini akan keluar dari sarang untuk mencari makanan dan selalunya akan berada di bawah katil, atas siling rumah atau bilik air,” katanya.

Katanya, orang ramai dinasihatkan memastikan tingkap atau lubang di sekitar kawasan rumah terutama pada dinding rumah ditutup dengan sempurna.
Sinar

Tedung selar ‘dicekup’ dalam tandas hostel

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker