Harakah ditegur papar gambar Sultan Nazrin bersebelahan pemimpin parti

Ahli Dewan Negara Perak Mohd Annuar Zaini menegur lidah rasmi PAS, Harakah Daily, berhubung penggunaan gambar Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dalam artikel portal itu.

Dia merujuk artikel bertajuk ‘Akui kekhilafan, PAS mohon ampun dari Sultan Nazrin’ yang disiarkan pada 11 Disember lalu, yang pada awalnya memaparkan gambar Sultan Nazrin dan Pesuruhjaya Perak yang juga Adun Gunung Semanggol, Razman Zakaria secara bersebalahan.

Menurut Mohd Annuar, gambar itu seakan-akan meletakkan taraf kedudukan mereka sebagai sama.

“Nasihat saya kepada Ketua Pengarang Harakah Daily, belajarlah lebih beradab dalam menjunjung adat negeri beraja – rakyat bersultan.

“Bila meletakkan gambar, jangan sampai disamatarafkan kedudukan seorang Adun dengan darjat seorang raja pemerintah,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Semakan mendapati gambar artikel tersebut kini hanya memaparkan gambar Sultan Nazrin.

Artikel itu turut menyiarkan ralat berkenaan perkara itu dengan memohon maaf kepada Sultan Nazrin atas kekhilafan tersebut.

Menurut ralat itu, penyiaran gambar sebelumnya “sama sekali tidak bertujuan atau berniat menyamakan taraf kedudukan darjat raja pemerintah dan rakyat.

“Teguran berkaitan protokol ini telah diambil maklum oleh pihak kami dan dengan suci hati merafak sembah memohon ampun kepada Duli Tuanku Sultan atas kekhilafan tersebut,” menurut ralat itu.

Ia bukan kali pertama gambar Sultan Perak disiarkan bersebelahan dengan pemimpin PAS. Pada 9 Dis, artikel bertajuk “PAS sentiasa menghormati Duli Yang Maha Mulia Sultan,” portal itu turut menyiarkan gambar Sultan Nazrin di sebelah setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan dan turut ditegur Mohd Annuar.

“Satu lagi artikel Harakah Daily yang meletakkan gambar Setiausaha Agung PAS setaraf dengan Raja Pemerintah,” katanya dalam hantaran berbeza.

Gambar itu juga telah digantikan dan artikel itu turut menyiarkan ralat yang sama.

Terdahulu, PAS Perak membatalkan majlis menghadap Sultan Nazrin di Istana Kinta di Ipoh pada 9 Dis lalu, susulan peletakan jawatan Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar.

Dua hari kemudian, tiga Adun PAS negeri itu diketuai Razman memohon ampun dan mengakui ‘kekhilafan’ tidak menghadap baginda sepertimana dititahkan.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang juga telah memohon untuk menghadap tetapi sumber yang rapat dengna istana memberitahu belum ada tarikh ditetapkan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker