Orang ramai dirayu derma darah
ALOR SETAR: Hospital Sultanah Bahiyah, di sini memerlukan ihsan orang ramai tampil menderma darah bagi menampung bekalan yang semakin berkurangan di hospital berkenaan sejak pandemik COVID-19 melanda negara ini.
Ketua Jabatan Perubatan Transfusi, Dr Siti Nadiah Abdul Kadir, berkata penularan wabak itu menyebabkan berlakunya penurunan kutipan darah selain kebimbangan daripada kalangan penderma darah.
Bagaimanapun, keperluan darah semakin meningkat susulan berikutan pertambahan kes pembedahan elektif dan kes lain yang memerlukan transfusi darah.
“Ketika pandemik berlaku penurunan kutipan darah kerana banyak institusi pengajian awam dan swasta yang ditutup.
“Jumlah penderma darah di Unit Pendermaan Darah juga semakin berkurangan, tanpa stok darah yang mencukupi, proses merawat pesakit mungkin terjejas,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Dr Siti Nadiah berkata, proses derma darah adalah mudah dan hanya mengambil masa antara 30 hingga 45 minit sahaja dan setiap penderma darah mampu menyelamatkan tiga nyawa.
Katanya, kriteria asas penderma adalah berusia antara 17 hingga 60 tahun, sihat tubuh badan, tidur melebihi lima jam dan tidak mengambil ubat terlarang serta memiliki berat badan 45 kilogram ke atas.
“Individu yang ingin berbuat demikian boleh hadir ke Unit Pendermaan Darah HSB atau Pusat Darah Wilayah di sebelah Penjara Alor Setar dan sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi talian 04-7406051,” katanya.