Selepas ICERD, 5 lagi ancaman utama NGO-NGO Melayu perlu selesaikan

Perlu kesepakatan, persefahaman seperti yang dibawa ketika Himpunan 812

BANGI, 22 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Kejayaan Himpunan Bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) – Himpunan 812 – dua tahun lalu antara bukti kekuatan kebangkitan kuasa ketiga, khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini.

Himpunan 812 diadakan kerana rakyat kecewa dengan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah ketika itu, apabila dilihat mengikut telunjuk puak antinasional dalam kerajaan untuk meratifikasi ICERD.

NGO memainkan peranan, menghimpunkan ratusan ribu rakyat – atas dasar menjaga Perlembagaan negara daripada diganggu gugat kuasa antarabangsa sekiranya ICERD diratifikasi.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad berkata, antara yang mahu diimplementasikan menerusi ratifikasi ICERD adalah penghapusan segala bentuk diskriminatif, melarang segala bentuk diskriminasi kaum serta mengambil tindakan jika situasi itu berlaku.



“Kita tolak ICERD kerana kita bimbang kuasa antarabangsa ini mendesak supaya pinda Perlembagaan mengikut kehendak mereka. Kita pula kena buat laporan berkala pada mereka. Bagi kita, tak perlu itu semua. 

“Sekian lama kita dijajah pemerintah, kita telah menolak Malayan Union, kita berjaya dapatkan kemerdekaan. Kita berjaya bina negara berdaulat, kerana kita ada Perlembagaan Persekutuan. 

“Jadi kenapa kita nak kembali kepada penjajahan asing. Kita tak perlu semua itu,” katanya dalam Forum Menyingkap Himpunan 812, yang diadakan secara dalam talian, malam ini.

Ekoran kebimbangan itu, maka tercetuslah Himpunan 812 berikutan rakyat terlalu kecewa dan bimbang nasib masa depan negara.  



Contohi kerajaan BN tangani ICERD – Hadi Awang

“Menteri-menteri PH pula berjaya mempengaruhi perdana menteri ketika itu yang akur dengan desakan mereka. Malangnya pada masa itu, Majlis Raja-Raja Melayu pun tergamam. 

“Jadi rakyat bangkit, NGO-NGO Melayu berjaya berkumpul menjadi kuasa ketiga. Kuasa pertama tadi adalah Majlis Raja-Raja, kedua kerajaan dan ketiga NGO Melayu,” katanya.



Mengulas lanjut, beliau berkata, gerakan rakyat hasil gabungan beberapa NGO dan institusi politik bangkit dan tekad untuk menolak ICERD.

“Akhirnya Majlis Raja-Raja bersama untuk merestui himpunan itu. Kalau kita perhatikan apabila NGO berjaya mengumpul kuasa ketiga, walaupun tiada sebarang perjanjian. Apa yang tercetus di kalangan NGO ketika itu hanyalah persefahaman,” katanya.

Justeru, Dr Hasan yakin apa yang diperlukan NGO-NGO hari ini adalah semangat persefahaman yang sama yang dibawa ketika Himpunan 812 itu.  

“Andainya kelompok-kelompok ini dapat membentuk kesefahaman, maka kita dapat tangani masalah yang berlaku bersama-sama. 



“Kita telah buktikan apabila NGO bergabung membentuk gerakan rakyat, bila ada hasrat kerajaan yang tak sehaluan, kita bangkit menegur. Kita tak mahu kerajaan ikut telunjuk kuasa asing atau puak antinasional yang berada di dalam kerajaan,” katanya. 

Selain daripada ancaman ICERD yang telah berjaya ditangani, terdapat lima lagi ancaman utama yang perlu diselesaikan dengan kesepakatan NGO-NGO Melayu.

“Pertamanya rasuah, terutama di kalangan ahli politik dan pegawai kerajaan yang tanpa segan silu melakukan rasuah dan salah laku kuasa. Kedua, masalah politik di kalangan pemimpin Melayu. Kita tak boleh berdiam diri kerana antara mereka tiada kesepakatan lagi. 

“Ketiga, kemusnahan budaya korporat islamik di kalangan institusi kepentingan Bumiputera. Lihatlah bagaimana GLC menghapuskan harta yang dikumpul sekian lama dan dijual pada pihak bukan berkepentingan Bumiputera.



“Isu keempat yang perlu diberi perhatian adalah kemasukan pendatang asing, sempadan yang bolos pertahanannya, yang juga berpunca daripada pihak keselamatan itu sendiri. 

“Terakhir, isu yang perlu ditangani bersama NGO-NGO Melayu adalah kecelaruan pendidikan di semua peringkat pendidikan, baik rendah mahupun menengah,” katanya.

ICERD: Perang belum tamat, bekas ketua hakim ingatkan Melayu



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker