Saarani angkat sumpah 11 pagi esok

Pengerusi Umno Perak Saarani Mohamad dijadual mengangkat sumpah sebagai menteri besar pada jam 11 pagi esok.

Pengelola Bijaya Diraja Abd Rahim Mohamad Nor berkata pada timbangan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Saarani boleh mendapat kepercayaan sebahagian besar Adun untuk dilantik ke jawatan itu.

Abd Rahim berkata demikian dalam kenyataan media sebentar tadi.

Ia dikeluarkan tidak lama selepas Perikatan Nasional (PN) mencapai kata sepakat menerima Saarani bagi menggantikan Ahmad Faisal Azumu yang digulingkan melalui usul percaya di Dewan Rakyat.

Abd Rahim berkata sultan Perak membuat keputusan itu berpandukan Perkara XVI Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak.

Sebelum ini ADUN PAS dan PPBM Perak menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah untuk menghantar akuan bersumpah (SD) menyokong pelantikan menteri besar yang baru.

Tiga wakil rakyat PAS memasuki Istana Kinta pada 4.23 petang dan keluar kira-kira 4.45 petang, yang disusuli ADUN PPBM selepas itu.

PAS mempunyai tiga ADUN dalam Dewan Undangan Negeri Perak, iaitu Pesuruhjaya negeri, Razman Zakaria (Gunung Semanggol), Mohd Akmal Kamaruddin (Selama) dan Khalil Yahaya (Kubu Gajah).

PPBM pula mempunyai lima kerusi, iaitu Chenderiang yang diwakili bekas menteri besar, Ahmad Faizal Azumu, Zainol Fadzi Paharuddin (Sungai Manik), Nolee Ashilin Mohamed Radzi (Tualang Sekah), Yunus Jamhari (Kuala Kurau) dan Hasnul Zulkarnain Abd Munaim (Titi Serong).

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker