Remaja lempar kucing ditangkap
Lawas: Remaja lelaki yang memuat naik rakaman video melempar kucing di aplikasi TikTok diberkas polis pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Lawas, Deputi Superintendan Roslan Leman berkata, suspek berusia 19 tahun dari Kampung Aru Baru, Sundar, Lawas, ditahan di kediamannya jam 9 pagi.
“Suspek mengaku ada merakam klip video TikTok bersama seorang rakan di Water Front Sundar pada 4 Disember lalu.
“Semasa merakam video TikTok, suspek mengaku ada menggendong seekor kucing kemudian melempar ke belakang ke dalam semak yang berumput,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, tular video TikTok remaja terbabit yang melempar kucing sekali gus mendapat kritikan netizen.
Video TikTok yang menjadi tular itu mendapat perhatian Persatuan Haiwan Malaysia yang menyeru supaya pelaku dicari dan ditangkap kerana berbuat zalim kepada kucing.
Roslan berkata, suspek mendakwa berbuat sedemikian kerana terkejut kucing itu meronta-ronta untuk melepaskan diri.
“Untuk mengelakkan tercedera akibat gigitan atau dicakar, suspek mendakwa terpaksa bertindak demikian.
“Suspek diberi jaminan polis memandangkan dia seorang pelajar,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan/ Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM)1998. HM
Lelaki mengaku tidak bersalah bunuh tiga kucing dalam mesin kedai dobi