Petani India sekat jalan, laluan kereta api bantah undang-undang baharu

NEW DELHI: Laluan kereta api dan lebuh raya disekat di seluruh India apabila petani melancarkan tunjuk perasaan nasional hari ini bagi membantah pembaharuan peraturan sektor pertanian, selepas 10 hari ‘mengepung’ ibu negara.

Puluhan ribu petani membuat sekatan di jalan memasuki New Delhi sejak 26 November lalu, berikrar untuk tidak bergerak sehingga undang-undang itu dimansuhkan.

Ia turut menjadi cabaran terbesar kepada parti Barathiya Janata (BJP), pemerintah nasionalis Hindu yang menang besar pada pilihan raya tahun lalu.



Pihak berkuasa menempatkan polis tambahan di New Delhi dan seluruh negara bagi menangani masalah memandangkan golongan petani mendapat sokongan pekerja stesen kereta api, pemandu lori, guru dan kesatuan lain.

Sekatan dan mogok itu dipolitikkan oleh BJP, yang menuduh parti pembangkang mengambil kesempatan dengan menolak langkah sama yang turut cuba dilaksanakan ketika parti itu berkuasa.

Ketua Menteri New Delhi, Arvind Kejriwal, dari Parti Common Man, mendakwa beliau ‘ditahan di rumah’ sejak semalam oleh Polis New Delhi yang dikawal oleh kerajaan nasional, selepas beliau mengunjungi tunjuk perasaan, namun dinafikan polis.

Rundingan lima kali sebelum ini antara petani dan menteri gagal mengubah undang-undang baharu yang membenarkan petani menjual hasil di pasaran terbuka termasuk rantaian pasar raya.



Namun, pendekatan itu dibantah oleh petani yang bimbang syarikat korporat akan melakukan manipulasi pasaran dan memaksa penurunan harga.

Sebelum ini, hasil tani dibeli oleh pertubuhan peladang yang dikendalikan kerajaan dengan jaminan harga minimum. – AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker