Macau Scam : Pengusaha vape dakwa diugut ‘Datuk’, pegawai SPRM
Seorang pengusaha vape mendakwa diugut seorang individu bergelar datuk bersama pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes Macau Scam pada Oktober lalu.
Sumber berkata, lelaki terbabit yang berusia 32 tahun memaklumkan rumahnya di Taman Melawati, di sini, diserbu pihak SPRM, kira-kira 7 pagi pada 2 Oktober lalu.
“Dalam serbuan itu, bilik tidur lelaki berkenaan digeledah dan barang seperti telefon bimbit, iPad, beberapa fail serta dokumen, empat beg berjenama serta wang tunai berjumlah RM1.7 juta dirampas.
“Lelaki itu kemudian dibawa ke pejabat SPRM Putrajaya untuk soal siasat berkaitan kes Macau Scam dan hubungannya dengan individu bernama Addy Kanna.
“Ketika soal siasat dilakukan, pegawai SPRM dikatakan mengugut untuk menahan reman ibu lelaki terbabit jika dia tidak mahu mengaku terbabit dengan Macau Scam dan Addy Kanna,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, ketika disoal siasat, seorang individu bergelar Datuk mengugut lelaki itu supaya menyerahkan tiga kenderaan miliknya dan wang tunai sebanyak RM20 juta, serta berkongsi hasil perniagaan kilang perabot milik mangsa.
Katanya, ia jika mahu mudahkan perkara berkenaan dan kononnya mengelak lelaki itu daripada dikenakan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.
“Akibat takut dengan ugutan itu, lelaki itu dikatakan bersetuju memberi dua kenderaan miliknya kepada Datuk terbabit dan meminta masa berfikir berkenaan perkongsian kilang perabot serta meminta melepaskan semua barang kemas dan lain-lain milik ibunya yang turut disita oleh pihak SPRM.
“Pada masa sama, seorang pegawai SPRM dipercayai memberitahu mangsa bahawa Datuk berkenaan berkawan rapat dengan beberapa pegawai atasan SPRM dan memintanya menyerahkan semua permintaan Datuk itu dengan rela hati bagi memudahkan urusan,” katanya.
Katanya, lelaki itu dibenarkan untuk dijamin oleh mahkamah pada 6 Oktober lalu sebelum barang kemas dan beberapa barang milik ibunya serta wang tunai berjumlah RM90,000 diserahkan kepada lelaki berkenaan.
“Lelaki itu bersama pegawai SPRM dan Datuk berkenaan yang juga pemilik syarikat kontraktor pembinaan berada di stor SPRM di Jalan Conchrane menukar nama bagi hak milik kenderaannya, sebelum mereka memulangkan dua kenderaan lain miliknya dan memintanya menandatangani borang penyerahan pada 10 Oktober lalu.
“Pada 22 Oktober lalu, lelaki itu dimaklumkan oleh seorang pegawai SPRM bahawa pihak atasannya meminta lelaki itu melucutkan hak kenderaan miliknya yang berada di stor SPRM untuk menyelesaikan semua permasalahan membabitkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya.
Sumber berkata, ketika mangsa mahu mengambil wang yang disita di pejabat SPRM pada 23 Oktober lalu, dia mendapati wang diambil dari rumahnya yang sepatutnya berada dalam dua beg berbeza, namun wang ditunjukan hanya dalam satu beg.
“Lelaki itu dipercayai dibawa ke sebuah bank di Putrajaya dan diarahkan oleh pegawai SPRM berkenaan untuk memasukan wang di dalam beg ke akaun LHDN.
“Ketika pengiraan wang dilakukan, mangsa mendapati terdapat lebihan nilai yang ditulis di dalam borang daripada pihak SPRM dianggarkan berjumlah RM93,000.
“Lelaki kemudian diminta membayar bon sebanyak RM300,000 untuk kenderaan yang masih ditahan di pejabat SPRM dan mahu melucutkan hak sebuah kenderaan miliknya jenis Subaru Impreza pada 3 Disember lalu. Namun, mangsa tidak membayar kerana tiada wang,” katanya.
Katanya, hasil siasatan mendapati lelaki terbabit diugut beberapa kali sejak kali pertama ditahan pada 4 Oktober lalu hingga awal Disember.
“Kejadian ugutan itu termasuk ketika urusan pengendalian kereta milik lelaki terbabit membabitkan 10 kereta serta sebuah motosikal dianggarkan berjumlah RM2 juta dan diminta membayar bon sebanyak RM300,000 pada 8 November lalu.
“Lelaki dimaklumkan pegawai SPRM berkenaan bahawa kes itu hampir selesai dan menunggu kes dikategorikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA), namun sehingga kini, pegawai terbabit masih meminta mangsa membayar bon.
“Malah, lelaki itu mempersoalkan tindakan pihak SPRM melepaskan kenderaan yang ditahan secara berperingkat walaupun akaun bank miliknya sudah dicairkan,” katanya.
Menurut lelaki itu, dia menafikan mengenali Addy Kanna, namun berkenalan dengan individu bergelar Datuk terbabit pada 22 November 2019 atas tujuan pengubahsuaian rumah neneknya di Ipoh, Perak.
“Namun, rumah itu tidak disiapkan kerana pelbagai alasan. Malah, Datuk itu ada meminjam wang sebanyak RM1 juta daripadanya dan hanya memulangkan RM900,000, manakala selebihnya dicagarkan atas sebuah kereta Hummer H2 dan motosikal Harley Davidson ke atas namanya.
“Difahamkan, pengusaha vape terbabit ditahan SPRM selama lima hari bermula 2 hingga 6 Oktober lalu selepas dikaitkan terbabit dengan aktiviti Macau Scam, judi dalam talian dan pusat pelacuran,” katanya.
Difahamkan, lelaki terbabit membuat laporan polis pada 6 Disember lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika dihubungi, hari ini, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Laporan itu masih dalam siasatan pihak kami. Setakat ini, belum ada sebarang tangkapan dibuat,” katanya. HM