Vape kini ‘menyamar’ jadi jam tangan, radio

Vape atau rokok elektronik kini boleh dimiliki oleh pelajar sekolah tanpa disedari ibu bapa atau guru dengan kehadiran peranti menggunakan cecair berperisa itu yang “menyamar” dengan pelbagai rekaan.

Tinjauan FMT di laman membeli belah secara atas talian terkemuka negara, mendapati terdapat penjualan beberapa peranti terbaru seperti jam tangan, radio dan MP3 yang disertakan dengan “earphone” yang berfungsi sebagai vape.

Peranti tersebut dijual bermula dari harga RM30 sehingga mencecah RM200 bagi 1 set, bergantung kepada jenis reka bentuk yang dipilih.

Sekali imbas, produk tersebut tidak kelihatan seperti vape tetapi gajet elektronik itu tidak menyediakan fungsi lain.



Pembeli yang berminat boleh membeli dengan hanya klik pada gambar produk dan mengesahkan umur melebih 18 tahun. Seterusnya membuat pilihan warna dan jenis pembayaran untuk dihantar ke alamat yang diminta.

Sementara itu, satu tinjauan berasingan di media sosial Facebook mendapati satu klip video memaparkan seorang lelaki memegang seutas jam tangan. Namun, apabila skrin jam itu dicabut, lelaki itu mendedahkan peranti itu adalah rokok elektronik.

Pembeli perlu mengesahkan umur mereka melebihi 18 tahun sebelum melihat gambar dan butiran produk.

“Ini nampak macam jam, tapi bukan ya. Jadi tengok-tengok kalau anak pakai, rampas bagi kita orang,” kata lelaki di dalam video tersebut. Bagaimanapun, FMT gagal mengenalpasti individu di dalam video berkenaan.



Sebelum ini dilaporkan rang undang-undang baru berkaitan kawalan pengunaan rokok elektronik atau vape dan sisha dijangka dibentang di Parlimen pada akhir tahun ini atau sesi tahun depan.

Timbalan Menterinya, Lee Boon Chye berkata jawatankuasa khas berkaitan isu itu yang dipengerusikan olehnya ketika ini sedang merangka undang-undang baru berkenaan memandangkan pihaknya masih memerlukan pandangan semua pihak, termasuk penglibatan pemegang taruh.

Pada 27 Jun lepas, Menterinya Dzulkefly Ahmad mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas berkenaan untuk merumus kaedah kawalan terhadap penggunaan rokok elektronik.

FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker