Tiada daging babi dalam kes penipuan logo halal

Siasatan awal terhadap gudang di Senai yang didakwa terbabit dalam kegiatan ‘kartel’ dan penipuan logo halal tidak menemui daging babi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi, ketika mengesahkan perkara itu berkata pegawai penyiasat dalam proses mengumpul bukti, keterangan dan merakam percakapan saksi berkaitan.

Selain itu, katanya, proses mendapatkan maklumat dan dokumen lain daripada agensi berkaitan giat dijalankan.

“Kes akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya selepas siasatan selesai untuk tindakan selanjutnya.



“Tindakan awal kerajaan untuk menangani isu ini ialah dengan mengeluarkan arahan kepada pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di seluruh negara pada 4 Disember lalu.

“Ini untuk menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan terhadap peruncit, pemborong dan pengedar produk daging sejuk beku.

“Pemeriksaan dijalankan secara bersepadu dengan agensi lain khususnya dengan pegawai-pegawai daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) mengenai perkembangan siasatan dan langkah tegas kerajaan dalam menangani kes kartel daging import haram, di Senai, Johor. BH



Kartel tukar daging haram jadi halal

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker