Belum ada kelulusan untuk perlombongan REE di Kedah



Sebaran :

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan setakat ini belum ada sebarang kelulusan diberikan terhadap mana-mana negeri untuk melakukan aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE), termasuk di Kedah.

Katanya, meskipun kementeriannya memang sedang membangunkan prosedur operasi standard (SOP) perlombongan REE bagi memastikan ia dilakukan secara mampan, itu tidak bermakna kerajaan memberikan kelulusan untuk aktiviti sedemikian.

“Ini tak bermakna kerajaan sudah bersedia untuk membenarkan pelombongan NREE (REE tak beradioaktif) pada masa ini.



“Contohnya, kerajaan takkan membenarkan sebarang aktiviti perlombongan NRREE terutama di kawasan hutan simpan kekal tanpa sebarang penilaian dan kelulusan teknikal, ini bagi mengelakkan insiden pencemaran yang boleh menjejaskan alam sekitar, sumber air, kesihatan dan kepentingan negara.

“[…] Sukacita saya memberi penegasan, kementerian tenaga dan sumber asli tidak mengeluarkan sebarang kelulusan untuk aktiviti perlombongan di mana-mana negeri terutama di kawasan hutan simpan kekal.

“Mana-mana pihak yang melakukan perlombongan tanpa kelulusan, kita tak teragak-agak mengambil tindakan melalui akta dan perundangan yang ada,” katanya dalam waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.



Dia menjawab soalan Fuziah Salleh (PH – Kuantan) yang bertanyakan keputusan Majlis Tanah Negara berkenaan penerokaan dan pengeluaran REE di Kedah dan negeri lain serta syarat-syaratnya, dan apakah REE itu mengandungi unsur thorium.

Ini selepas Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata permit kelulusan bagi meneroka dan mengekstrak REE di negeri itu telah dikeluarkan kepada sebuah syarikat tempatan berpangkalan di Kuala Lumpur.

Sanusi mengumumkan Kedah memiliki deposit mineral itu dianggarkan berjumlah RM62 bilion di seluruh negeri dan syarikat berkenaan diberi kelulusan itu pada minggu lepas untuk melakukan kerja-kerja penerokaan di satu kawasan di negeri itu.



Kata Shamsul, Majlis Tanah Negara belum berbincang terperinci berkaitan penerokaan dan pengeluaran REE di negeri berkenaan mahupun di tempat lain.

Katanya, kementeriannya sedang membangunkan SOP perlombongan REE yang merangkumi keseluruhan aktiviti dalam rantaian nilai, daripada perlombongan hinggalah, pengurusan sisa, penutupan lombong dan proses pengilangan, mengambil kira semua perundangan sedia ada.

Menurutnya, pematuhan sepenuhnya SOP tersebut merupakan syarat utama sebelum kelulusan diberikan terhadap sebarang aktiviti perlombongan NRREE yang dikawal menerusi Skim Pengendalian Melombong (OMS) oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).



Katanya, sumber REE yang berpotensi diteroka di Malaysia ialah NRREE, dan berdasarkan kajian JMG, kehadiran thorium dalam sumber berkenaan dicatat pada kadar 0.27375 gram, iaitu pada tahap sangat rendah dan dianggap bukan radioaktif serta dikecualikan daripada Akta Pelesenan Tenaga Atom 1984.

Dia berkata, Majlis Mineral Negara yang diaktifkan semula akan menilai SOP berkenan dan membincangkannya bersama kerajaan negeri, kementerian berkaitan, pihak berkaitan dan turut akan mendapatkan pandangan awam.

“Mesyaruat pertama Majlis Mineral Negara dijangka penghujung Disember ini.



“Walaupun pengeluaran permit untuk penerokaan mineral terletak di bawah kuasa kerajaan negeri, namun penetapan dan penentuan syarat-syarat akan dibentuk secara bersama melibatkan kerjasama agensi di peringkat pusat dan negeri bagi memastikan semua syarat dipatuhi sebelum kelulusan diberikan,” katanya. Mk

Kedah Bakal Negeri Terkaya di Malaysia, Teroka Mineral Bernilai RM60 Billion


Sebaran :


Leave a Reply