Napoli tukar nama stadium sempena Maradona

Stadio San Paolo kini dinamakan sebagai Stadio Diego Armando Maradona. – Foto AFP

NAPLES, Itali: Napoli secara rasmi menamakan semula stadium keramat mereka, San Paolo kepada Stadio Diego Armando Maradona – bagi memperingati legenda mereka itu.

Pemain Argentina itu meninggal dunia 25 November lalu pada usia 60 tahun.

Napoli, kelab Itali yang diterajui Maradona untuk dua gelaran Serie A, Piala UEFA dan Coppa Italia sepanjang tujuh tahun menyarung jersinya, antara kelab yang paling menangisi pemergian Maradona.

Ketika mendedahkan percubaannya untuk melakukan perubahan itu minggu lalu, presiden kelab Aurelio De Laurentiis mengakui usaha itu bermula sejak 17 tahun lalu.

“Saya berbincang dengan pihak berkuasa tempatan sejak 17 tahun lalu, saya sering memohon untuk membeli stadium itu dan menamakannya Diego Armando Maradona.

“Jika terpaksa mengikut tradisi untuk memanggilnya San Paolo dan Maradona, kita akan menggunakan kedua-duanya.

“Ia tidak akan mengubah apa-apa, tetapi Maradona berhak mendapat pengiktirafannya.

“Jika saya terpaksa membina stadium baharu, saya akan menamakannnya sebegitu,” kata De Laurentiis.

Secara keseluruhan, Maradona beraksi 259 kali untuk Napoli, menjaringkan 115 gol untuk rekod tertinggi kelab ketika itu serta menjadi kapten pasukan.

Ribuan peminat berarak di jalan raya di Naples pada hari kematiannya, dan pada hari berikutnya, kesemua 11 pemain Napoli memakai jersi Maradona 10 bagi memperingati wira mereka. – AGENSI

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker