Mengembali tiang seri UMNO



zul jalil pm tepi

BOLEH kita sembang kali ini pasal UMNO? Ya, ketika ada yang bercakap pasal kedudukan jawatan TPM (Timbalan Perdana Menteri) yang elok katanya diisi daripada UMNO.

Pada pengamatan peribadi saya, yang menguatkan UMNO bukan nombor atau bilangan ahlinya yang berjuta.

Yang menguatkan parti itu ialah musyawarah, khidmat dan kesungguhan mematuhi semangat Fasal 3 Perlembagaannya.

Cabaran yang melanda UMNO ketika ini diakui ramai, amat getir terutama selepas pilihan raya negeri Sabah tempoh hari. Diuar-uarkan menang banyak kerusi, rupa-rupanya indah khabar dari rupa. Jawatan ketua menteri pun pergi ke parti yang lebih berkelayakan.

Memasuki era lebih mencabar hari ini, jika tidak ditangani secara bijaksana dan berhemah, isu-isu baharu yang mendatang mungkin membawa perpecahan dan kelemahan kepada UMNO.




Dikhuatiri menghilangnya erti tiga ‘B’ yang dilaungkan selama ini: Bersatu, Bersetia, Berkhidmat.

Masih ingatkah lagi sekitar tahun 2016, timbalan presiden dan seorang naib presiden hilang jawatan Kabinet masing-masing? Seorang bekas timbalan menteri telah masuk parti pembangkang.

Presiden parti berhadapan pelbagai ujian dan rejaman secara tular dalam media sosial.

Semasa itu, isu 1MDB, isu derma RM2.6 bilion, nilai ringgit yang menurun 20 peratus dalam tempoh setahun, kos sara hidup yang kian melambung naik dan lain-lain perkembangan besar berkisar dalam kehidupan rakyat. Hala tuju UMNO dipersoalkan orang. Akhirnya UMNO yang mengetuai berbelas parti gabungannya kecundang pertama kali dalam sejarah, Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018.

REALISTIK

Mendepani cabaran hari ini, kepimpinan UMNO dan ahlinya harus realistik. Presiden dan ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) memerlukan pendekatan terus terang ikhlas dan objektif. Ubat mujarab mesti dicari, disapukan dan dimakan. Tetapi apa ubatnya?




Ubatnya ‘bersatu’ seperti dalam cogan kata UMNO – Bersatu, Bersetia, Berkhidmat. Soalnya bagaimana? Ubat ini mesti segera dicari dan dimanfaatkan, sementelahan sempat lagi sebelum memasuki gerbang pertempuran PRU-15 yang sepelaung. Bulan tiga, bulan empat tahun depan tak lama. Jika tidak, UMNO akan mula ditinggalkan.

Persekitaran politik UMNO kini, dalam satu pengertian, boleh dibandingkan dengan cabaran yang dihadapi Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kumpulannya sebelum dan pasca-krisis Kumpulan A dan Kumpulan B pada tahun-tahun 1987-1996. Kalaulah media sosial pada hari ini wujud pada zaman Tun Mahathir, belum tahu beliau boleh bertahan.

Cara berparti mesti diubah kepada modul yang berpaksikan nilai-amalan membina di akar umbi. Presiden dan barisan pimpinan UMNO kena lebih siap-siaga dan cekal menyediakan jawapan dan penjelasan tentang pelbagai isu besar yang melanda perjuangan bersama. Ini amat penting. Anggota parti yang berjuta-juta orang itu harus meyakini kesinambungan pimpinan ke arah kehidupan rakyat yang stabil dan menjamin.

PERSEPSI ATAU FAKTA?

Lebih dari itu, penjelasan secara terbuka, berwibawa dan menyeluruh berkaitan sesuatu isu mesti meyakinkan. Ini demi menyatukan semula anggota parti untuk menyokong pimpinan dan operasi parti.

Politik dan perjuangan bergantung kepada persepsi yang terasas kepada sentimen dan fakta. Bagi memperoleh kredibiliti tertinggi, presiden sendiri harus tampil memberi huraian tepat dan berkesan dengan tujuan memadamkan pelbagai tohmah serta sangkaan jahat. Kedua-dua pihak – pimpinan dan pengikut mesti rela ditegur dan dibaiki piel perjuangan.




Perjuangan UMNO tertakluk kepada perlembagaannya, khusus yang berkaitan Fasal 3. Fasal ini menerangkan enam prinsip besar untuk menjamin masa depan orang Melayu dan keutuhan perjuangan itu sendiri. Melupai enam prinsip ini bermakna melupai perjuangan bangsa, agama dan negara.

REZEKI ‘POKET’

Cabaran bagi pimpinan dan generasi muda parti ialah memahami sebenarnya ungkapan dan amali “UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.” Tiang seri perjuangan ini harus terus dipampangkan, diajarkan dan diamalkan.

Menjadi cabaran bagi tiga juta lebih ahli UMNO dan semua pemimpinnya supaya menginsafi bahawa parti telah terlalu jauh meninggalkan tuntutan perjuangan. Latihan menghayati Fasal 3 ini boleh dikatakan dalam keadaan sambil lewa atau dalam peribahasa ‘terpijak pergi terlanda pulang’. Sebab itu kebanyakan masuk menjadi ahli UMNO bukan untuk berjuang tetapi berangan-angan untuk rezeki poket dan kedudukan.

Dan sebilangan wakil rakyat UMNO hanya faham Fasal 3 begitu-begitu saja. Jadi bila berkuasa, lupa diri, lupa bahasa, lupa budaya dan lupa siapa Melayu dari sudut perjuangan. Jika disenaraikan masalah dalaman UMNO semenjak zaman Tunku hingga kini, kebanyakan isunya berpunca dari pergeseran pimpinan, bukan dari orang bawah. Seperti ikan, kepalanya berbau dan mudarat dahulu daripada bahagian lain.

Logiknya UMNO kelihatan masih ada harapan untuk berada dalam jiwa orang Melayu – tetapi majoriti ini dikongsi bersama Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).




Penyelesaian dalaman secara Melayu tradisional dan ukhuwah Islamiah boleh diperkukuhkan UMNO bersama dua parti ini termasuk disertai kepimpinan parti Melayu lain seperti Pejuang, Putra, MUDA dan beberapa lagi.

Bersetia bermakna mesti pegang petua terus bersatu. Presiden dan Timbalan Presiden serta Naib-Naib Presiden dan ahli-ahli MKT UMNO harus terus berinteraksi dan berunding antara satu sama lain demi kebaikan parti. Jangan salahkan orang lain apatah lagi Perdana Menteri yang ada, antaranya kerana enggan membuat pelantikan jawatan tertentu dalam Kabinet.

Akurlah, mana-mana Perdana Menteri mempunyai gaya atau cara mereka sendiri dalam pentadbiran.

Dan UMNO selaku pemilik terbesar kerusi Parlimen dalam kerajaan hari ini telah melalui iktibar frasa ini “apa gunanya menjadi pemimpin dalam UMNO, tetapi kalah dalam pilihan raya umum”.

Maka perjuangan melandaskan hidup enau dalam belukar perlu diketepikan.



Leave a Reply

Your email address will not be published.