Tular gambar doktor peluk pesakit COVID-19 di ICU

WASHINGTON: Gambar seorang doktor, Dr Joseph Varon, yang merawat pesakit COVID-19 di sebuah hospital di Texas, memeluk pesakit lelaki warga emas pada Hari Kesyukuran mendapat perhatian dan tular di seluruh dunia.

Varon yang bekerja tanpa henti selama 252 hari dilihat sedang memeluk dan menenangkan pesakit warga emas itu yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Beliau yang juga Ketua Staf di Pusat Perubatan United Memorial di Houston, Texas berkata, beliau memasuki bilik ICU itu dan melihat pesakit itu turun dari katilnya dan berusaha keluar dari bilik.

“Tiba-tiba warga emas berkenaan menangis. Saya menghampirinya dan bertanya mengapa dia menangis.



“Lelaki itu berkata dia ingin bersama isterinya. Saya hanya mampu memeluk dan menenangkannya. Saya kasihan dan sangat sedih, seperti dia.

“Akhirnya dia berhenti menangis dan tenang semula,” kata Varon kepada CNN pada hari ke 256 beliau bekerja.

Varon berkata, pengasingan unit rawatan COVID-19 mendatangkan kesukaran kepada kebanyakan pesakit, terutama warga emas.

“Anda boleh bayangkan, anda berada di dalam ruang di mana orang-orang datang dengan pakaian seperti di angkasa dan lebih kasihan lagi jika pesakit warga emas yang bersendirian.



“Sebahagian daripada mereka menangis dan ada yang cuba melarikan diri, malah semalam ada yang cuba melarikan diri melalui tingkap,” katanya.

Katanya, pesakit lelaki di dalam gambar itu kini semakin baik dan berharap hujung minggu ini beliau dapat dibenarkan keluar dari hospital.

Dalam pada itu, Varon turut memberi nasihat kepada mereka yang tidak mengambil langkah berjaga-jaga dan gagal mematuhi peraturan operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan pandemik itu.

“Ramai orang masih gemar mengunjungi di bar, restoran, pusat membeli-belah tanpa mematuhi SOP ditetapkan. Ini gila kerana mereka tidak mendengar nasihat dan akhirnya berada di ICU saya.



“Mereka sepatutnya hanya perlu lakukan perkara asas bagi mengelak dijangkiti iaitu jaga penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, kerap cuci tangan dan elak mengunjungi tempat sesak.

“Sekiranya semua orang melakukan itu, pekerja kesihatan seperti saya dapat berehat,” katanya. – AFP

Ubah suai bilik macam ICU



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker