Empat gergasi Eropah mara awal
PARIS: Juventus, Chelsea dan Sevilla masing-masing mencatat kemenangan saat akhir sebelum layak ke kelompok 16 Liga Juara-Juara, manakala Martin Braithwaite meledak dua gol dalam kemenangan 4-0 Barcelona di Dynamo Kiev untuk turut mara ke pusingan kalah mati.
Keempat-empat pasukan itu melepasi peringkat kumpulan dengan dua perlawanan berbaki.
Erling Braut Haaland, Neymar, Cristiano Ronaldo dan Bruno Fernandes menemui sasaran untuk pasukan masing-masing.
Hanya Lionel Messi direhatkan oleh Barcelona tetapi skuad kendalian Ronald Koeman masih mampu merakam kemenangan keempat dalam Kumpulan G.
Juventus menyertai Barcelona dari Kumpulan G tetapi gergasi Itali itu terpaksa menanti tandukan pemain simpanan Alvaro Morata dalam masa kecederaan untuk kemenangan 2-1 ke atas Ferencvaros di Turin.
Chelsea mara dari Kumpulan E selepas menewaskan Rennes 2-1 di Perancis, dengan Olivier Giroud masuk sebagai pemain simpanan sebelum menanduk gol kemenangan dalam masa kecederaan.
Juara Liga Europa musim lalu Sevilla tidak akan mempertahan trofi mereka selepas mara ke kelompok 16 kejohanan elit Eropah itu susulan kemenangan 2-1 ke atas Krasnodar di Russia.
Sevilla dan Chelsea masing-masing mengutip 10 mata tetapi skuad kendalian Frank Lampard akan bertandang ke Sepanyol minggu depan untuk menentukan juara kumpulan.
Manchester United mendahului Kumpulan H selepas Fernandes meledak dua gol dalam kemenangan 4-1 ke atas Istanbul Basaksehir. – AFP