Annuar nafi sertai PPBM, jiwa masih bersama UMNO

Sebaran :

Setiausaha Agung Barisan Nasional, Annuar Musa berikrar untuk terus setia kepada Umno dan tidak akan menyertai PPBM.

Walaupun berdepan pelbagai tekanan dan cabaran dalam politik, ahli Parlimen Ketereh itu berkata, jiwanya kekal sebagai ahli Umno dan tidak akan berpaling tadah.

“Kita ini kalau sudah kahwin seorang, tak payah berhasrat nak kahwin banyak. Kalau yang satu pun kita tak dapat nak urus, tak usah nak bercita-cita besar.



“Lagipun soal kesetiaan saya kepada parti, bagi orang dah lama dalam Umno, dia kenal siapa saya, bagi orang baru, mungkin kena fikirlah,” katanya dalam wawancara Insight Talk bertajuk “Kestabilan kerajaan tunjang Melayu” malam tadi.

Baru-baru ini, tersebar satu poster didakwa daripada PPBM Bahagian Ketereh yang mengalu-alukan penyertaan Annuar dalam parti pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Ia menyusul kenyataan Annuar pada minggu lalu yang mendakwa segelintir ahli lupa Umno ialah parti sudah kalah dan jatuh.


Oleh itu, katanya, Umno perlu sedar diri dan tidak berhak mempersoalkan layanan diterima parti itu dalam Kabinet Muhyiddin.

Susulan itu, beliau dikritik beberapa pemimpin Umno lain, termasuk Timbalan Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed yang menyifatkan beliau figura “sudah mati” dalam perjuangan parti Melayu itu.

Annuar kemudiannya membalas dengan berkata, beliau sedia dipecat daripada Umno atau dilucutkan jawatan menteri kerana lebih penting ialah perjuangan parti berterusan.

Malam tadi, Annuar yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno berkata, walaupun setia kepada Umno, beliau tetap bersikap sederhana dan tidak fanatik sehingga membenci semua orang.

Selepas dikutuk dan dicemuh ahli parti, katanya, beliau kekal bersama Umno serta pernah setia dengan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

“Bila bersama Mahathir, saya setia dengan dia. Sekarang bila Mahathir keluar Umno, saya kekal dengan Umno. Tetapi, tiap kali saya buat pendirian, saya kena kutuk.

“Saya kalah dalam pilihan raya, jatuh berkali-kali, tapi saya tetap tak tinggalkan Umno.”

Katanya, dalam politik ada turun naiknya, oleh itu beliau mengingatkan orang baru supaya tidak menghinanya.

“Orang baru belum lalui macam saya, dia tak boleh hina saya begitu. Yang pasti, saya orang yang pilih Umno sebagai wadah perjuangan.”

Mengenai kritikan ahli dan pemimpin parti terhadap pendiriannya yang dilihat mesra PPBM, Annuar berkata, beliau terbuka dan tidak mengambil hati terhadap kritikan mereka.

“Kita orang politik ni, kita juga kaki mengkritik. Jadi, kadang-kadang kalau kita suka mengkritik, orang (akan) mengkritik kita (juga), itu kita sabar-sabar sajalah, tak jadi masalah.” FMT

NOTA : Jiwa saja tak cukup wahai Tan Sri, perbuatan, pertuturan juga penting.

Annuar Musa kena smash kerana bertindak sebagai sole negotiator


Sebaran :

Leave a Reply