Russia dakwa vaksin COVID-19 keluarannya berkesan 95 peratus

Jururawat menyediakan suntikan vaksin Sputnik V bagi ujian klinikal di sebuah klinik di Moscow, Russia. - Foto AFP
Jururawat menyediakan suntikan vaksin Sputnik V bagi ujian klinikal di sebuah klinik di Moscow, Russia. – Foto AFP

MOSCOW: Vaksin COVID-19 keluaran Russia, Sputnik V, merekodkan 95 peratus keberkesanan berdasarkan analisis interim kedua data percubaan klinikal.

Pusat Penyelidikan Gamaleya (Gamaleya), yang membangunkan vaksin itu, berkata dua dos akan dijual di pasaran antarabangsa pada harga kurang 8.40 euro (RM40.74) setiap dos manakala bagi warga Russia, ia diberikan secara percuma.

Menurutnya, ia boleh disimpan pada suhu antara dua hingga lapan darjah Celsius dan bukannya di bawah suhu beku yang diperlukan untuk menyimpan vaksin lain.

Gamaleya, dalam satu kenyataan memaklumkan pengiraan keberkesanan dibuat berdasarkan data awal yang diperoleh 42 hari selepas dos pertama



Agensi dikendalikan Kementerian Kesihatan Russia itu berkata vaksin berkenaan menunjukkan keberkesanan 91.4 peratus selepas 28 hari dos pertama iaitu rumusan yang dicapai berdasarkan 39 kes.

42 hari kemudian iaitu selepas dos kedua, data menunjukkan keberkesanan vaksin melebihi 95 peratus.

Bagaimanapun, Pengarah Gamaleya, Alexander Gintsburg, tidak menyatakan jumlah kes COVID-19 yang digunakan untuk membuat pengiraan akhir.

“Analisis kedua dilakukan seminggu selepas sukarelawan memperoleh dos kedua yang bermaksud tubuh mereka memberi sebahagian reaksi terhadap kedua-dua dos.



“Kami menjangkakan kadar keberkesanan vaksin akan itu menjadi lebih tinggi tiga minggu selepas dos kedua,” katanya.

Menurut kenyataan Gamaleya lagi, dos pertama vaksin itu diuji ke atas 22,000 sukarelawan dan lebih 19,000 menerima kedua-dua dos.

Ujian vaksin di luar negara juga dilakukan iaitu di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Venezuela, Belarus dan beberapa negara lain.

Pada Ogos lalu, Russia menjadi negara pertama yang mendaftarkan vaksin COVID-19 tetapi berbuat demikian sebelum selesai melakukan ujian klinikal berskala besar.



Bulan lalu, Presiden Russia, Vladimir Putin, mengumumkan negara itu mendaftarkan vaksin COVID-19 kedua yang diberi nama EpiVacCorona, sekali gus meningkatkan saingan bagi menghasilkan vaksin.

Putin pada bulan lalu berkata Russia mengadakan perjanjian pembuatan dengan China dan India selain menggalakkan Brazil serta Afrika Selatan untuk turut menghasilkan vaksin buatan Russia secara besar-besaran.

Selain itu, syarikat farmaseutikal gergasi, Prizer dan BioNTech mengumumkan vaksin dibangunkan firma berkenaan menunjukkan 95 peratus keberkesanan.

Sementara itu, syarikat AS, Moderna, pada minggu lalu memaklumkan bahawa vaksinnya berkesan sehingga 94.5 peratus. – AFP



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker