Percaya berita palsu punca tidak jalani saringan COVID-19 percuma

Petugas Pejabat Kesihatan Sandakan mengambil sampel dari hidung seorang penduduk ketika mengadakan saringan COVID-19 di pandu lalu di Dewan Hakka, Taman Tyng semalam. - Foto BERNAMA
Petugas Pejabat Kesihatan Sandakan mengambil sampel dari hidung seorang penduduk ketika mengadakan saringan COVID-19 di pandu lalu di Dewan Hakka, Taman Tyng semalam. – Foto BERNAMA

SANDAKAN: Berita palsu kononnya vaksin untuk COVID-19 akan tersedia tidak lama lagi yang tular di media sosial dipercayai antara sebab ramai penduduk Sandakan enggan mengambil peluang untuk menjalani saringan COVID-19 secara percuma.

Timbalan Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin meminta orang ramai supaya tidak mempercayai berita itu, sebaliknya sentiasa patuh kepada nasihat pihak berkuasa dengan menjalani saringan berkenaan.

“Jangan percaya pada berita palsu yang menyuruh masyarakat supaya jangan buat saringan (kerana) kononnya ada vaksin tidak lama lagi… ini (berita palsu) menyusahkan masyarakat.

“Kalau ada aduan mengenai berita palsu, kami (polis) akan menjalankan siasatan untuk mengetahui tujuan sebenar mereka menularkan berita yang bukan-bukan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Azhar, Kementerian Kesihatan (KKM) bersama agensi berkaitan sentiasa komited mengadakan saringan secara percuma setiap hari sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan di Sandakan pada 9 Oktober lalu.

Katanya, masyarakat harus mengambil peluang dengan menjalani saringan percuma dan bersama-sama membantu barisan hadapan yang bekerja keras untuk memutuskan rantaian COVID-19 itu. – BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker