Anthony panas punggung dibidas Ka Siong

Pemimpin DAP, Anthony Loke Siew Fook (Seremban-DAP) naik angin apabila Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong membidasnya semasa soal jawab balas berhubung isu penamatan kontrak syarikat Dhaya Maju-LTAT (DM-LTAT) dalam projek Fasa 2 Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT2).

Sikap agresif Anthony menarik perhatian Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang berkali-kali memintanya bertenang dan tidak meninggikan suara kerana dibimbangi terkena serangan jantung.

Anthony dilihat beberapa kali bangun mempertahankan dirinya apabila Ka Siong cuba menjelaskan keputusan untuk menamatkan Surat Setuju Terima (SST) projek kepada DM-LTAT dibuat selepas pertimbangan Kabinet.

“Kementerian saya telah menyenaraikan baik buruk dalam mempertahankan keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu dan penamatan Surat Setuju Terima dalam memorandum Kabinet.

“Oleh kerana perkara ini dibawa ke mahkamah, maka tidak wajar bagi saya untuk membincangkannya secara terperinci,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2021 di Parlimen hari ini.

Anthony bagaimanapun tidak berpuas hati dengan jawapan itu, sambil menuduh Ka Siong menipu Dewan Rakyat dengan memberi jawapan mengelirukan.

Namun, Ahli Parlimen Ayer Hitam itu menegaskan, beliau menjawab tuduhan yang dilemparkan Anthony kepadanya kerana sebelum itu beliau tidak ada peluang kerana menjalani rawatan di hospital.

“Saya dengar tuduhan Seremban (Anthony) ke atas saya. Saya tidak boleh jawab sebab saya terlantar di hospital tetapi nampaknya, Seremban cuba menjadi jurucakap syarikat,” kata Ka Siong.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Seremban itu mencelah sambal menyatakan, beliau jurucakap rakyat, bukan menjadi jurucakap pihak lain.

Ka Siong turut menuduh Anthony sebagai tidak beradab apabila menuduhnya menipu ketika memberi jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan pembangkang.

“Dia (Anthony) tidak beradab kata kita menipu, sedangkan kita belum habis menjawab,” katanya.

Menurut Menteri Pengangkutan itu, Anthony telah melemparkan beberapa tuduhan tidak berasas dan omong kosong oleh pihak DM-LTAT kepadanya.

“Setelah menerima afidavit tersebut, saya segera meminta nasihat undang-undang dan telah dinasihatkan supaya membersihkan nama saya melalui proses perundangan tanpa mengumumkannya kepada khalayak bagi mengelakkan ia dipolitikkan.

“Bagaimanapun, saya menjangkakan syarikat berkenaan akan menggunakan saluran berbeza, termasuk melalui ahli politik untuk dijadikan sebagai isu sensasi.

“Oleh itu, saya telah memberitahu Kabinet pada 6 November lalu mengenai masalah ini dan pegawai yang bersama saya dalam perjumpaan dengan syarikat tersebut telah membuat laporan polis, serta dengan tegas menolak segala tuduhan fitnah yang dilemparkan,” katanya.

Gobind Singh Deo (Puchong-DAP) kemudiannya bangun mencelah dan dengan nada tinggi menuduh Ka Siong keliru dengan jawapannya sendiri tetapi masih cuba menegak benang basah. MG

https://mykmu.net/2018/03/12/azmin-panas-punggung-di-parlimen-video/

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker