Putrajaya digesa biar negeri tentukan penutupan sekolah

Sebuah kumpulan aktivis dan akademik menggesa kerajaan membenarkan negeri menentukan sekolah mana yang akan ditutup untuk pemeriksaan penularan Covid-19.

Jurucakap Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie) berkata, organisasinya menentang penutupan semua sekolah di seluruh negara, manakala Madeline Berma dari Akademi Sains Malaysia berkata, ada sesetengah penutupan yang dilihat tidak perlu.

Pengerusi Magpie, Mak Chee Kin berkata, negara tidak boleh berdepan penutupan semua sekolah kerana masalah pembelajaran dalam talian belum selesai.

Katanya, kebanyakan sekolah tidak bersedia untuk pembelajaran di rumah dan Kementerian Pendidikan perlu kekal dengan keputusan awalnya yang membenarkan Jabatan Pendidikan negeri menentukan penutupan sekolah.



“Mereka dalam penafian jika merasakan semuanya baik dengan pembelajaran dalam talian dan di rumah. Implikasi penutupan itu serius.”

Beliau mendakwa guru dan pelajar hilang semangat yang mereka perolehi sejak sekolah dibuka semula sepenuhnya Julai lalu.

Berma berkata, pejabat pendidikan negeri atau daerah boleh diberikan kuasa untuk memutuskan penutupan sekolah melalui rundingan dengan Kementerian Kesihatan.

Beliau memberitahu FMT, guru yang bercakap dengannya bimbang dengan kemajuan dicapai pelajar.



Katanya, nampaknya tiada keperluan untuk menutup sekolah di kawasan yang mempunyai sedikit atau tiada kes Covid-19 langsung.

Bagaimanapun, beliau mendapati kawasan luar bandar kekurangan akses kepada kemudahan perubatan yang baik dan ini memberi sedikit kewajaran untuk penutupan menyeluruh itu.

Katanya, kesukaran akses kepada sumber perubatan boleh menyebabkan Covid-19 merebak lebih cepat di kawasan luar bandar, walaupun jika hanya seorang individu yang dijangkiti virus itu.

“Sudah tentu pihak berkuasa pendidikan kata mereka akan melakukan yang terbaik untuk memastikan jurang pelajar bandar dan luar bandar tidak bertambah, tetapi ini agak susah.”



Berma berkata, sesetengah bentuk pembelajaran hanya boleh diperolehi dalam kelas seperti belajar berkumpulan, interaksi antara pelajar dan peningkatan rasa hormat kepada guru.

Katanya, kita mungkin perlu menunggu 2 atau 3 tahun untuk melihat bagaimana teruknya pendidikan terjejas akibat keputusan kerajaan disebabkan Covid-19.

Beliau menggesa “pelaburan besar” untuk manfaat pelajar, di mana pendidikan mereka akan sangat terjejas.

Walaupun melabur dalam komputer riba bagi pelajar dan Revolusi Industri 4.0 adalah baik, katanya, sesetengah pelajar mungkin serba kekurangan dari segi infrastruktur asas dan penting, seperti akses bekalan elektrik.



“Perlu ada insentif untuk guru dan ibu bapa. Di Malaysia Timur, ibu bapa di rumah panjang menyerahkan pendidikan kepada guru sepenuhnya. Jadi sekarang, mungkin kita perlu melibatkan mereka.” FMT

Penutupan sekolah berpanjangan beri kesan amat besar



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker