Penutupan sekolah berpanjangan beri kesan amat besar

Penutupan sekolah akibat COVID-19 dijangka memberi impak pada pendidikan dan kesejahteraan ekonomi pelajar yang terkesan, sepanjang hidup mereka.

Itu antara inti pati laporan penutupan sekolah akibat COVID-19 oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Bank Dunia, membabitkan lebih 150 negara antara Mei hingga Oktober lalu.

Menurut laporan itu, berbanding krisis terdahulu COVID-19 meninggalkan kesan teruk terhadap pendidikan kanak-kanak, terutama di negara miskin.

“Sesuatu gangguan pada persekolahan kanak-kanak, walaupun singkat meninggalkan impak negatif berpanjangan terhadap pendidikan mereka.

“Satu kajian menganggarkan, kesan kehilangan pendidikan global akibat penutupan sekolah selama empat bulan adalah bersamaan AS$10 trilion (RM41 trilion) dari segi kehilangan pendapatan.

“Penutupan sekolah berpanjangan turut menyebabkan pelajar dan negara bakal kehilangan jumlah besar sepanjang hidup mereka. Ini menggambarkan betapa teruk kesan penutupan sekolah, malah menjelaskan beberapa langkah diputuskan kerajaan dalam membentuk dasar untuk menebus semula hari persekolahan yang hilang,” jelas laporan itu.

Laporan itu menyatakan, 108 negara kehilangan purata 50 hari pengajaran secara langsung kepada pelajar akibat penutupan sekolah, atau kira-kira satu perempat daripada tempoh persekolahan dalam setahun.

Pada akhir September lalu, hampir separuh populasi pelajar global masih berdepan penutupan sekolah yang berlanjutan lebih enam minggu berturut-turut, manakala awal April, lebih 90 peratus pelajar seluruh dunia terkesan.

Selain hilang peluang belajar, penutupan sekolah akibat COVID-19 menjejaskan taksiran pembelajaran. Lebih separuh negara terbabit dalam laporan itu terpaksa menangguhkan peperiksaan penting antara empat hingga 12 minggu dan ada yang terus membatalkan peperiksaan.

Susulan penularan pandemik itu yang menjejaskan kira-kira 1.5 bilion pelajar dan keluarga di seluruh dunia, kerajaan pelbagai negara memilih kaedah pembelajaran jarak jauh untuk mengatasi cabaran itu dengan memperkukuh sokongan pada guru serta menilai semula dasar pentaksiran dan peperiksaan.

Antara kaedah bagi meneruskan pendidikan pelajar termasuklah menerusi platform dalam talian, televisyen, radio dan pemberian bahan pendidikan untuk dibawa pulang ke rumah, namun menurut laporan badan dunia itu, keberkesanannya berbeza antara negara berpendapatan tinggi, sederhana dan rendah.

Medium dalam talian dan televisyen adalah pilihan tertinggi dan ditawarkan di 90 peratus negara, disusuli bahan pengajaran di rumah (85 peratus) dan pendidikan menggunakan radio (61 peratus).

“Sebanyak 36 peratus menyatakan platform pendidikan dalam talian sangat berkesan, manakala 58 peratus menyifatkannya sebagai berkesan, khususnya dalam kalangan negara berpendapatan tinggi dan menengah tinggi, dengan hanya enam peratus menganggapnya tidak berkesan, iaitu dalam kalangan negara berpendapatan menengah tinggi,” jelas laporan itu.

Namun, UNESCO dan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) menganggarkan setakat Mei lalu, 40 peratus pelajar yang terbabit dengan penutupan sekolah tidak memiliki akses internet, sekali gus memungkinkan sejumlah besar pelajar keciciran jika sekolah terus ditutup.

Laporan berkenaan menyarankan, sebarang keputusan untuk mengambil kira pembelajaran dalam talian sebagai hari persekolahan rasmi perlu menimbang ketidaksamaan akses pada teknologi dan tidak melebarkan jurang digital di seluruh dunia.

“Walaupun 53 peratus isi rumah seluruh dunia dihubungkan dengan internet, jumlah pelajar yang tidak memiliki akses internet pula berbeza, antara 15 peratus di Eropah Barat dan Amerika Utara hingga setinggi 80 peratus di Afrika.

“Kebanyakan pelajar daripada golongan berpendapatan rendah atau tinggal di luar bandar adalah kumpulan utama terpinggir daripada pembelajaran secara dalam talian ketika penutupan sekolah,” menurut laporan itu.

Dalam pada itu, dua pertiga negara melaporkan pembelajaran secara maya merangkumi semua mata pelajaran dan domain pembangunan, sama ada sekolah rendah atau menengah, namun beberapa negara memaklumkan pengajaran subjek seperti sukan dan seni secara dalam talian adalah mencabar.

Laporan itu menyatakan, 73 peratus negara sudah mula membuka sekolah, sama ada secara sebahagian atau keseluruhan, manakala lima peratus negara memaklumkan tarikh untuk membuka sekolah.

“Lebih lapan daripada 10 negara mempromosikan kebersihan pernafasan dan menambah baik fasiliti mencuci tangan.

“Pemeriksaan suhu badan, pengasingan kendiri kakitangan dan pelajar serta pengesanan kontak bagi mereka yang terdedah pada jangkitan juga dilaksanakan di lebih separuh negara, namun hanya 19 peratus negara merancang untuk membuat ujian COVID-19 pada peringkat sekolah,” katanya.

Perancangan pembukaan sekolah juga berbeza mengikut tahap pendapatan negara. Negara berpendapatan tinggi lebih cenderung membuka semula sekolah seperti dijadualkan dan mengutamakan pembukaan prasekolah, selain cenderung menggabungkan kaedah pengajaran di sekolah serta secara jarak jauh.

Kebanyakan negara berpendapatan rendah pula mengutamakan pembukaan sekolah bagi pelajar menengah atas. Negara berpendapatan menengah pula cenderung mengutamakan kawasan tertentu, bergantung pada lokasi penularan jangkitan COVID-19.

Laporan itu menyimpulkan tindak balas COVID-19 berkait pendidikan adalah berbeza mengikut tahap pendapataan

sesebuah negara, dengan negara berpendapatan rendah dan menengah cenderung menutup sekolah lebih lama berbanding negara berpendapatan tinggi.

Badan dunia itu turut menyarankan, langkah membuka sekolah perlu mengutamakan pemantauan pelajar yang tercicir bagi mengelak jumlah keciciran kanak-kanak dan remaja meningkat, selain kaedah baharu serta perubahan peranan pentaksiran dalam pendidikan. BH

Empat pelajar sekolah menengah antara 21 ditahan sertai pesta dadah

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker