Didakwa terlibat dengan pembunuhan dalam perjara, bekas duta Bangladesh ditahan

PETALING JAYA: Satu pagi pada 9 Feb, Mohamed Khairuzzaman yang berjoging seperti biasa di pekarangan kondominiumnya dihampiri seorang lelaki yang meminta beliau mengesahkan identitinya. Bekas Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia itu terkejut, tetapi memberi pengesahan.

Sejurus kemudian, beberapa individu lain turun dari dua kereta dan mengepungnya. Mereka memperkenalkan diri sebagai pegawai imigresen dan bertanya kepada pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu sama ada beliau memiliki visa yang sah.

Beliau tidak memilikinya, tetapi dengan kad UNHCR, beliau dibenarkan menetap di Malaysia.



Ini menjadi titik tolak penahanannya selama enam hari kerana menetap lebih tempoh, namun katanya kepada FMT, beliau tidak terkejut.

Beliau tahu kerajaan Bangladesh mahu mengekstradisinya atas dakwaan peranannya dalam “pembunuhan dalam penjara” empat pemimpin tertinggi Liga Awami, iaitu kerajaan semasa yang memerintah di Bangladesh.

“Suruhanjaya Tinggi mula bertanya mengenai saya lapan bulan lepas menerusi warga Bangladesh yang tinggal di sini,” katanya.

“Namun mereka menelefon saya untuk mengingatkan agar saya berhati-hati. (Mereka memberitahu) ‘jangan pergi ke sini, jangan pergi ke sana.’



“Suruhanjaya Tinggi bertanyakan alamat kediaman saya dan pihak berkuasa Bangladesh juga mencari saya di rumah di Dhaka dan di kampung saya.”

Khairuzzaman menjadi Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia pada 2007. Beliau enggan kembali apabila Liga Awami memegang tampuk pemerintahan pada 2009 dan mengarahkannya pulang untuk berdepan perbicaraan berhubung pembunuhan bapa pengasas negara itu, Sheikh Mujibur Rahman pada 1975.

Beliau dipenjarakan hampir lima tahun selepas dipanggil pulang pada 1996 dari Manila, di mana beliau berkhidmat sebagai duta. Kerajaan menuduhnya terlibat dalam pembunuhan empat pembantu Sheikh Mujibur Rahman.

Khairuzzaman adalah antara beberapa diplomat di seluruh dunia yang diarahkan kembali ke Bangladesh dalam tempoh enam hari, tetapi hanya beliau yang berbuat demikian.



Diplomat lain dibicarakan secara in absentia dan dijatuhi hukuman mati, tetapi mahkamah tidak dapat mengumpul keterangan yang mencukupi untuk mendakwa Khairuzzaman. Amnesty International kemudiannya menggambarkannya sebagai tahanan politik dan tahanan hati nurani.

Mahkamah negara itu akhirnya membebaskan Khairuzzaman, yang kemudiannya mendapat semula jawatannya melalui tribunal pentadbiran.

Beliau kemudian naik pangkat di Kementerian Luar dan ditempatkan di Myanmar dan Malaysia sebagai Pesuruhjaya Tinggi.

Pada 2010, kerajaan Bangladesh merujuk kepada Mahkamah Agung bagi membicarakan semula kes pembunuhan pada 1975 itu, tetapi Peguam Negara dan ketua pendakwa raya diberitahu, kes tidak boleh dibicarakan dua kali. Kes itu ditarik balik.



Bagaimanapun tahun ini, laporan media Bangladesh memetik pegawai kerajaan sebagai berkata, Khairuzzaman harus dibawa pulang untuk sekali lagi berdepan tuduhan atas pembunuhan pada 1975 itu.

“Dakwaan ini semuanya rekaan. Kerajaan hanya mahu kelebihan politik dan mengalihkan perhatian daripada krisis yang sedang dihadapinya,” katanya, namun enggan mengulas lanjut.

Pasukan guaman bekas diplomat itu berkata, penahanannya di Malaysia menyalahi undang-undang kerana beliau seorang pencari suaka politik dengan kad UNHCR dan tidak melakukan sebarang kesalahan imigresen.

Pada 15 Feb, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan perintah penangguhan sementara terhadap Jabatan Imigresen daripada menghantar pulang Khairuzzaman ke Dhaka.



“Saya ingin berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan sistem kehakiman atas perkara ini,” katanya.

“Saya juga menghargai Jabatan Imigresen kerana melayan saya dengan baik sepanjang saya ditahan.

“Saya tidak rasa saya akan dapat perbicaraan yang adil jika kembali (ke Dhaka).”

 




Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Cecair Hitam, Busuk Keluar Daripada Paru-Paru Kanak-Kanak Positif COVID19

Dakwaan petunjuk baharu MH370

Encik Sajat kini wanita sah di Australia

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker