Unjuran KDNK, ekonomi pulih 2021 terlalu optimistik, kata NGO

Sebuah badan bukan kerajaan menyifatkan unjuran Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz untuk ekonomi negara pulih semula dan keluaran dalam negara kasar (KDNK) berkembang 6.5% hingga 7.5% tahun depan terlalu optimistik.

Sebaliknya, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN), Mohd Jamaludin Shamsudin meramalkan kesan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menjejaskan sebahagian besar ekonomi negara mungkin memakan masa beberapa tahun untuk pulih.

“Walaupun dengan adanya vaksin yang boleh meredakan kemelut ekonomi dunia yang terjejas dengan pandemik Covid-19, namun ekonomi dunia sudah pun mengalami kemerosotan ketara sebelumnya lagi.

“Isu struktur dan sistematik belum dapat diatasi. Antaranya, beban hutang negara maju dan membangun terlalu tinggi yang akan mengheret perkembangan ekonomi,” katanya kepada FMT.



Pada 8 Nov lalu, Zafrul menjangkakan ekonomi negara pulih semula tahun depan berdasarkan perkembangan ekonomi global dan laporan vaksin Covid-19 sedia digunakan pada pertengahan 2021.

Beliau turut mengunjurkan KDNK akan berkembang 6.5% hingga 7.5% tahun depan, sejajar jangkaan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) serta Bank Dunia kira-kira 6 hingga 8%.

Presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid turut menolak unjuran Zafrul itu yang dibuat tanpa asas kuat.

“Malah, ia boleh memberi kesan kepada imej Malaysia. Pelabur asing akan meletakkan taraf Malaysia sebagai ekonomi tidak boleh dipercayai.”



Katanya, statistik perolehan kerajaan jelas menunjukkan sumber pendapatan negara akan menguncup kerana cukai korporat dan individu tidak menunjukkan petanda akan bertambah.

“Pertanyaan yang sangat penting ialah ketika ekonomi negara amat bergantung kepada pasaran dunia yang jelas menunjukkan permintaan dunia menjunam, bagaimana Belanjawan 2021 tiba-tiba membuat unjuran pertumbuhan 6.5 hingga 7.5%?

“Jelas Belanjawan 2021 akan menambah hutang untuk membiayai bajet terbesar, iaitu RM322 bilion.”

Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidi bagaimanapun berharap jangkaan Zafrul untuk ekonomi negara pulih tahun depan menjadi kenyataan.



“Kita sebenarnya tak mahu komen tentang unjuran. Sama ada unjuran daripada Zafrul mahupun IMF.

“Ini kerana unjuran ialah unjuran. Apa-apa boleh jadi pada masa akan datang. Kita hanya harapkan agar unjuran yang berkembang ini akan menjadi kenyataan.”

Katanya, terdapat kira-kira 960,000 perusahaan kecil dan sederhana di seluruh negara dan mereka akan gulung tikar tanpa bantuan kerajaan menerusi Belanjawan 2021. FMT

Unjuran KDNK 2020 kekal -5.5 peratus hingga -3.5 peratus meskipun dengan kemunculan semula COVID-19: Tengku Zafrul



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker