MHO tuntut penjelasan PDRM isu tangkapan tiga suspek penipuan Gigamax

MHO tuntut penjelasan PDRM isu tangkapan tiga suspek penipuan Gigamax

MHO tuntut penjelasan PDRM isu tangkapan tiga suspek penipuan Gigamax
Pengerusi merangkap Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim. – Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjelaskan status tiga suspek utama skim penipuan pelaburan Gigamax yang didakwa ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6 Mei lalu.

Bagi tujuan itu, MHO menyerahkan surat permohonan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman semalam bagi menuntut maklum balas berhubung penahanan suspek.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, berkata tindakan mereka menghantar surat kepada JSJK dibuat selepas menerima pertanyaan daripada mangsa yang masih belum dimaklumkan secara rasmi perkembangan kes berkenaan.

Katanya, laporan sebuah akhbar berbahasa Cina pada 9 Mei mendakwa, ketiga-tiga suspek berkenaan pulang dari luar negara sebelum ditahan sebaik tiba di KLIA oleh pihak polis.

“Tiga suspek itu kemudiannya dilaporkan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk siasatan lanjut, namun hingga kini tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung perkembangan kes itu.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Ayuh Malaysia, Kita Merajuk


“Berikutan itu, kami cuba mendapatkan maklumat daripada pihak IPD Cheras berkaitan tiga suspek, tetapi mereka memaklumkan lokasi ketiga-tiga suspek ini tidak dapat dipastikan,” katanya dalam sidang media selepas menyerahkan surat di Ibu Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sini, hari ini.

Menurut Hishamuddin, pihaknya mewakili 99 mangsa penipuan sindiket berkenaan, membabitkan jumlah kerugian RM4.8 juta dan mereka menuntut penjelasan pihak polis berhubung tangkapan itu serta status siasatan.

MHO berhak tanya status suspek kes pelaburan Gigamax

Dalam pada itu, katanya beliau tidak berniat menuduh mana-mana pihak, namun sebagai wakil kepada pengadu yang menjadi mangsa, MHO berhak bertanya tentang status suspek terbabit.

“Adakah mereka masih direman? Jika ya, di mana mereka direman dan berapa lamakah tempohnya? Atau adakah mereka sudah dibebaskan dengan jaminan polis?” soal beliau.

Tambahnya, MHO tidak mempunyai sebarang niat untuk campur tangan dalam siasatan, sebaliknya hanya mahu memastikan hak pengadu dipenuhi, memandangkan laporan berhubung tangkapan tiga suspek utama itu tidak dimaklumkan secara rasmi kepada umum.

“Tanpa laporan media daripada akhbar itu, kami sendiri mungkin tidak mengetahui langsung berhubung tangkapan itu. Maka, wajarlah untuk kami menghantar surat dan bertanya kepada pihak polis.”

“Kami juga mahu tahu sama ada siasatan sudah selesai, jika kertas siasatan sudah dihantar ke Jabatan Peguam Negara, dan apakah kemungkinan pertuduhan akan dibuat,” katanya.

Mangsa harap tiada perlindungan pihak berkuasa kepada suspek

Sementara itu, seorang mangsa, Noraishah Muhammad, 60, meluahkan kebimbangan terhadap perkembangan kes berkenaan dan berharap tiada sebarang perlindungan diberikan kepada mana-mana suspek.

“Sebagai mangsa, saya menuntut penjelasan daripada PDRM. Jika benar mereka ditahan, mengapa tiada maklumat rasmi dikeluarkan?

“Kami mahukan ketelusan. Mangsa seperti kami berhak untuk mengetahui status terkini individu yang didakwa sebagai dalang dalam kes ini,” katanya.

Untuk rekod, sindiket penipuan pelaburan Giga max mula dikesan selepas polis menerima lebih 100 laporan daripada mangsa di seluruh negara, membabitkan kerugian keseluruhan melebihi RM7.2 juta.

Skim Gigamax pada Julai 2022

Skim ini diperkenalkan pada Julai 2022 oleh sebuah akademi yang juga bertindak sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan disasarkan sebagai platform pendidikan berkaitan mata wang kripto serta teknologi blockchain.

Menurut bekas Pengarah Jabatan JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, dalam satu sidang media tahun lalu, tujuh individu sedang diburu termasuk seorang warga Indonesia dikenali sebagai Awaludin yang dipercayai dalang utama.

Turut diburu ialah beberapa warga tempatan termasuk dua individu berpangkat tinggi dalam NGO terbabit, yang dipercayai melarikan diri ke Dubai.

Pada November 2024, seramai 11 individu termasuk dua wanita ditahan dalam beberapa serbuan di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Melaka.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Apakah Akan Ada Pertandingan Jawatan Timbalan Presiden PKR?


Sementara itu, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali, ketika dihubungi BH semalam berkata pihaknya mengesahkan penahanan tiga individu yang disyaki sebagai dalang utama sindiket penipuan pelaburan Gigamax di KLIA pada 6 Mei lalu.

Ketiga-tiga suspek berkenaan kini masih dalam tahanan reman bagi membantu siasatan lanjut.

“Saya mengesahkan tangkapan tiga suspek terbabit dan mereka kini sedang direman,” katanya.

 

MHO tuntut penjelasan PDRM isu tangkapan tiga suspek penipuan Gigamax

 


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Kempen Timbalan Presiden PKR Dedahkan Wajah Sebenar Rafizi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker