Covid-19 tiba di Marshall Islands

Share

Majuro: Covid-19 akhirnya menular ke Marshall Islands, antara beberapa negara dunia yang sebelum ini terselamat daripada virus itu.

Kerajaan negara di Lautan Pasifik itu pada Rabu mengumumkan bahawa dua pekerja di garison yang menempatkan Tentera Amerika Syarikat (AS) di Atol Kwajalein, disahkan positif virus selepas tiba dengan pesawat tentera dari Hawaii, pada Selasa.

Bagaimanapun, kedua-duanya, seorang lelaki berusia 35 tahun dan wanita berusia 46 tahun tidak ada kontak rapat dengan masyarakat ketika berada di negara itu.

Negara itu yang meliputi beberapa pulau dan atol (terumbu karang) terletak di tengah-tengah antara Australia dan Hawaii.

Kerajaannya sebelum ini menutup pintu sempadan negara berkenaan pada Mac dalam usaha mengelak virus berkenaan.

Negara-negara kepulauan di Lautan Pasifik sebelum ini memilih untuk menutup sempadan memandangkan fasiliti kesihatan yang didakwa tidak mencukupi untuk menghadapi Covid-19.

Susulan itu, negara pulau dan wilayah seperti Kiribati, Micronesia, Nauru, Palau, Samoa, Tonga, Tuvalu dan Vanuatu, masih bebas daripada virus berkenaan.

Bagaimanapun, Marshall Islands melonggarkan sekatan itu bagi membolehkan pekerja terutamanya tentera AS memasuki negara itu dengan syarat individu terbabit perlu menjalani kuarantin tiga minggu di garison Kwajalein.

Dalam pada itu, satu laporan menyatakan kedua-dua individu berkenaan disahkan negatif Covid-19 sebelum berlepas dari Hawaii dan tidak bergejala.

Selain itu, seorang daripadanya iaitu wanita pernah disahkan positif virus itu pada akhir Julai lalu. AFP

No go for Penang reclamation project pending DOE approval, says minister

Leave a Reply