Kes Sebenar: Tunggu lama selepas positif Covid-19 sebelum dibawa ke hospital
Gara-gara katil hospital semakin penuh, ada pesakit yang disahkan positif Covid-19 terpaksa menunggu giliran untuk dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan dan pemantauan.
Pesakit-pesakit yang bercakap kepada Malaysiakini memaklumkan yang mereka harus menunggu sehingga beberapa hari untuk mendapat keputusan ujian saringan swab, dan setelah itu, terpaksa pula menunggu beberapa hari lagi untuk dibawa ke hospital atau pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah.
Zainuddin Abdul Khalic dari Kinarut, Sabah menunggu lima hari untuk mendapatkan keputusan ujiannya, dan dua hari lagi sebelum dia dan isterinya dibawa ke pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah.
Kes Zainuddin mendapat perhatian Ketua Pengarah Kesihatan (KPK) Dr Noor Hisham Abdullah, selepas dia meniggalkan komen di laman Facebook Noor Hisham bagi meminta bantuan selepas mengalami kesukaran bernafas.
“Tan Sri, saya dan isteri baru saja diberitahu positif Covid-19 setelah lima hari ujian swab. Tapi sekarang kami masih di rumah saja.
“Tiada (dari KKM) yang datang ambil. Sekarang saya ada rasa sedikit shortness of breath (kesukaran bernafas). Call (hubungi) nombor yang mereka bagi satu pun tak angkat,” tulisnya.
Kisah sebenar di KLIA: “Daripada negatif COVID-19, boleh jadi positif” – Pengundi PRN Sabah
Ekoran komennya itu di laman Facebook Noor Hisham, kata Zainuddin, pegawai KPK telah meminta maklumat kesnya daripada jabatan kesihatan tempatan.
Hasilnya, pagi ini, dia dan isteri telah dibawa ke Pusat Latihan Kecemerlangan Koperasi, yang diubah suai menjadi pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah.
Zainuddin mengucapkan rasa terima kasih atas tindak balas pantas oleh Noor Hisham dan pasukannya.
“Mungkin pada awal itu para petugas agak tak menang tangan dengan kes-kes mendadak, sekarang (mungkin) dah dapat rentak balik,” katanya kepada Malaysiakini.
Tambahnya, anak-anaknya turut melakukan ujian swab hari ini dengan bantuan petugas KKM dan kini berada di bawah jagaan sukarelawan ketika dia dan isterinya menjalani rawatan.
‘Telefon 999 jika ada kesukaran bernafas’
Sementara itu, seorang penduduk di Kota Kinabalu, Sabah berkata, keluarganya terpaksa menunggu lima hari untuk mendapatkan ujian mereka dan tiga hari lagi sebelum mereka dibawa untuk mendapatkan rawatan dan pemantauan pada awal bulan ini.
Dia yang tak mahu dinamakan, memberitahu Malaysiakini, bahawa dia sekeluarga menjalani ujian saringan di kemudahan swasta selepas ibunya disahkan positif Covid-19 di sebuah hospital swasta sebelum menjalani satu prosedur kesihatan.
Meskipun begitu, katanya, mereka terpaksa menunggu lima hari untuk mendapat keputusan, dan sepanjang masa itu, mereka melakukan kuarantin kendiri.
Tambahnya, sehari selepas memperoleh keputusan positif itu, Kementerian Kesihatan ada menghubungi mereka bagi mendapatkan perincian mengenai lokasi mereka bagi pengesanan kontak.
“Saya tanya pegawai itu bila kami akan dibawa ke hospital atau pusat kuarantin, tapi dia bagitahu, katil penuh dan tak ada tempat kosong buat masa itu …
“Kami dimaklumkan untuk telefon 999 kalau mengalami kesukaran bernafas, dan mereka pasti akan hantar ambulans dalam kes sebegini,” tambahnya.
Katanya, dua hari kemudian, sebahagian ahli keluarganya dihantar ke pusat kuarantin di Kompleks Sukan Likas, manakala seorang daripada mereka dikelaskan sebagai “berisiko tinggi” dan dimasukkan ke hospital.
“Saya rasa mereka utamakan orang yang ada gejala yang teruk untuk diberikan rawatan (terlebih dahulu), peringkat ketiga dan ke atas, dan saya pun faham akan hal itu,” katanya.
Tambahnya, semasa dibawa ke pusat kuarantin, terdapat kira-kira lima peratus katil kosong memandangkan sesetengah pesakit sudah dibenarkan pulang.
Menurunya, ibunya yang masih mengalami batuk-batuk, telah pun dibenarkan keluar hospital.
Warga emas 80 tahun tunggu dua minggu
Kejadian sebegini turut disuarakan oleh beberapa pengguna lain di media sosial, yang berkongsi rasa cemas mereka ketika menunggu untuk menerima rawatan.
Di Tawau, seorang warga emas terpaksa menunggu 16 hari sebelum dibawa ke hospital.
“Nenek (saya) berusia 80 tahun dan mengambil ubat darah tinggi. Semalam, kementerian cakap cuma ada satu van saja untuk ambil pesakit Covid-19 jadi kami hanya perlu tunggu dan bersabar,” kata cucu perempuan kepada warga emas itu di media sosial.
Katanya, neneknya disahkan positif menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK) pada 3 Okt dan diuji sekali lagi menggunakan ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) yang lebih sensitif pada 6 Okt.
Keputusannya hanya diketahui 10 hari kemudian.
“Saya hanya berkongsi situasi semasa di Tawau. Saya tahu yang (KKM) sedang berusaha sehabis baik setiap hari.
“Petugas yang datang buat ujian swab, yang memakaikan gelang merah jambu, yang membuat pemantauan dan yang datang membuat ujian kedua semuanya peramah, tapi mereka nampak sangat letih,” katanya lagi.
Cucu tersebut tidak mahu dinamakan.
COVID-19: Jangkitan berisiko cecah 1,300 kes sehari menjelang hujung Oktober
Sabah mencatatkan tiga digit peningkatan kes setiap hari untuk dua minggu kebelakangan ini, dan situasi itu memberikan tekanan terhadap sistem kesihatan.
Pakar berpendapat sekiranya lebih banyak sokongan tidak diberikan, sistem kesihatan mungkin boleh runtuh dalam masa hanya beberapa minggu sahaja.
KKM berkata ia sedang menangani situasi berkenaan dengan menghantar lebih ramai petugas ke kawasan panas, menambah katil hospital, membuka lebih banyak pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah, dan menggunakan sumber ketenteraan untuk rawatan dan pengangkutan bahan ujian ke semenanjung untuk diuji.
Setakat semalam, Sabah mencatatkan 38 kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 10 hari.
Dalam tempoh waktu sama, hanya satu kematian dicatatkan di luar Sabah.
Pada Jumaat, KKM berkata 70 peratus daripada katil ICU telah penuh di Sabah, sementara untuk katil biasa pula, angkanya mencecah 76 peratus.
You must be logged in to post a comment.