Mencari Penawar Bagi “Kluster” Al-Gharimin COVID-19

Oleh: Dr Syahnaz Sulaiman

Apabila moratorium yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) kepada pihak pelanggan industri perbankan dan kewangan seperti koperasi berakhir, bermulalah cabaran sebenar bagi pelanggan yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Ramai tidak menjangkakan virus bersaiz nano ini begitu “berkuasa” sehingga mampu merombak norma kehidupan umat manusia susulan penularan wabak yang digeruni dan belum ditemui penawarnya.

 

Kesan COVID-19

Krisis COVID-19 bukan sahaja membawa impak negatif kepada aspek kesihatan malah turut mengekang aktiviti ekonomi dalam sektor-sektor penting seperti kewangan, peruncitan, pembuatan, pembinaan, pelancongan dan perhotelan di seluruh dunia kerana tidak dapat beroperasi seperti biasa. Bukan itu sahaja, pandemik ini turut menguji segenap anggota masyarakat termasuk pelbagai agensi dan organisasi seperti institusi kesihatan, institusi perbankan dan kewangan Islam, pusat-pusat zakat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam merealisasikan tanggungjawab mereka kepada rakyat ketika berdepan dengan saat-saat yang begitu getir ini.

Sektor ekonomi yang turut terjejas serta mendapat perhatian banyak pihak termasuk kerajaan ialah industri kecil dan sederhana (SME). Berdasarkan tinjauan oleh Jabatan Statistik Malaysia, sebanyak 67.8 peratus syarikat SME kehilangan pendapatan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan. Banyak syarikat tidak dapat beroperasi seperti biasa bahkan ada yang gulung tikar sebaik sahaja PKP tamat lantaran tidak mampu untuk menampung kos operasi yang kian meningkat. Sebagaimana jangkaan, rentetan penutupan perniagaan, bilangan individu yang kehilangan pekerjaan turut mencatat peningkatan mendadak. Berdasarkan data Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), susulan pandemik COVID-19, jumlah kehilangan pekerjaan di negara ini dilaporkan meningkat sebanyak 42 peratus untuk suku pertama tahun 2020.

SIP turut melaporkan pandemik COVID-19 telah menjejaskan banyak perniagaan sehingga mengalami penurunan permintaan sebanyak 37 peratus atau tidak dapat beroperasi seperti biasa (42 peratus). Berdasarkan satu kaji selidik, tiga daripada lima individu yang kehilangan sumber mata pencarian terdiri daripada belia di bawah umur 40 tahun dan bekerja di sektor tidak formal. Bagi mereka yang berjaya mengekalkan pekerjaan pula berdepan kehilangan pendapatan sebanyak 90 peratus dan tidak mempunyai simpanan yang cukup untuk meneruskan kelangsungan hidup.

 

Kluster al-gharimin

Kemunculan “kluster” al-gharimin COVID-19 adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Golongan isi rumah yang terkesan akibat kehilangan pekerjaan dan penutupan perniagaan kini dibebani dengan komitmen untuk melangsaikan hutang, menjelaskan bil-bil tertunggak selain menyara keperluan asas makan, minum keluarga dan persekolahan anak-anak. Dari sudut istilah syarak, al-gharimin bermaksud golongan yang berhutang. Golongan ini dikategorikan kepada tiga iaitu mereka yang berhutang demi kemaslahatan sendiri, keluarga dan orang lain bagi memenuhi keperluan asasi seperti makanan, kesihatan dan perlindungan, menjamin orang yang berhutang dan mereka yang ditimpa bencana alam sehingga binasa harta benda. Asnaf al-gharimin COVID-19 mungkin boleh diqiaskan sebagai mereka yang hilang sumber mata pencarian kesan daripada malapetaka COVID-19.

Secara jelas, golongan ini berdepan ujian getir kerana menanggung beban hutang sehingga sukar untuk meneruskan kehidupan sekiranya tiada bantuan dihulurkan. Sungguhpun sehingga kini tiada statistik menyeluruh berhubung jumlah sebenar isi rumah yang diklasifikasi sebagai asnaf al-gharimin COVID-19, namun jumlah tersebut dijangka akan terus mencatat peningkatan sekiranya krisis pandemik ini masih berterusan. Senario ini secara zahirnya akan memberi impak kepada peningkatan kes keingkaran melunaskan hutang (default) dengan pihak bank bahkan bakal menjadi faktor penyumbang utama kepada insiden muflis. Bank juga bakal berdepan dengan risiko pertambahan kes pinjaman tidak berbayar (non-performing loan, NPL) yang sekiranya dibiarkan akan memberi pengaruh negatif kepada institusi berkenaan. Tekanan yang dirasai oleh individu yang diisytiharkan muflis juga berkemungkinan memuncak sehingga boleh meruntuhkan kerukunan institusi kekeluargaan yang merupakan nadi pembinaan masyarakat yang harmoni. Persoalannya apakah langkah penyelesaian yang dapat direncana bagi meringankan beban “kluster” al-gharimin COVID-19?

 

Bantuan

Setakat ini, pemberian moratorium selama enam bulan terhadap pinjaman atau pembiayaan yang dibuat dengan institusi perbankan dan kewangan Islam membolehkan golongan yang bekerja sendiri menarik nafas lega buat sementara waktu. Walau bagaimanapun, golongan ini dijangka akan menempuh saat yang lebih mencabar apabila tempoh moratorium berakhir kerana tidak mempunyai sumber mata pencarian untuk melunaskan hutang akibat terkesan dengan krisis COVID-19.

Sebagai langkah awal bagi menangani risiko keingkaran membayar hutang (default) dalam kalangan pelanggan, institusi perbankan kini giat menjalankan soal selidik secara tersasar bagi mengenal pasti kesediaan pelanggan untuk membayar hutang selepas tempoh moratorium tamat. Beberapa buah bank melaporkan, terdapat sebahagian pelanggan yang kini kembali membayar hutang meskipun tempoh moratorium belum berakhir. Kelegaan turut dirasai oleh mereka yang terjejas sumber pendapatan berikutan pengumuman kesediaan institusi perbankan memberikan kelonggaran dengan melanjutkan tempoh bayaran hutang selama tiga bulan bermula Oktober sehingga Disember 2020. Pendekatan yang diambil oleh bank ialah dengan menilai setiap permohonan berdasarkan keperluan setiap kes.

Langkah ini, dapat memberi ruang kepada individu atau syarikat yang terkesan untuk bangkit kembali setelah mendapat pekerjaan baharu atau kembali membuka perniagaan. Kerajaan juga telah bertindak pantas bagi mengurangkan impak ke atas ekonomi dengan mengumumkan pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi berjumlah RM295 bilion. Ini bertujuan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dengan pelbagai insentif meringankan beban segenap lapisan anggota masyarakat daripada Makcik Kiah dan Pak Saleh sehinggalah ke sektor korporat.

Institusi zakat merupakan antara agensi yang memainkan peranan penting dalam menghulurkan bantuan segera kepada golongan isi rumah yang terjejas ketika negara berdepan dengan ancaman COVID-19. Sebagai institusi yang menunjangi sektor ijtimai’ atau sosial dalam sistem ekonomi Islam, ia menggariskan asnaf al-gharimin secara khusus sebagai penerima agihan zakat selain asnaf fakir dan miskin. Tiada dalam jangkauan pemikiran kita aspek sosioekonomi dalam abad ke-21 boleh tergugat dalam usaha memerangi wabak ketika aspek penjagaan kesihatan dan pembangunan teknologi dan ekonomi berada di puncak. Justeru, fungsi zakat sebagai institusi dalam sektor ketiga bagi mewujudkan jaringan keselamatan sosial terus diperkasa agar kekal relevan dalam usaha menangani krisis. Bahkan, fungsi ini wajar digalas bersama-sama dengan syarikat-syarikat korporat yang membayar zakat termasuk institusi perbankan Islam.

 

Dana khusus

Satu mekanisme strategik perlu dibentuk bagi membantu asnaf al-gharimin COVID-19. Antara langkah yang dicadangkan ialah dengan mewujudkan dana khusus secara berpusat sama ada di BNM atau pusat zakat bagi membolehkan golongan ini melangsaikan hutang di institusi perbankan dan kewangan Islam. Bagi memastikan kelestarian peniaga atau individu yang kehilangan pekerjaan, institusi perbankan Islam diharap dapat tampil untuk memberikan suntikan modal kepada golongan ini untuk bangkit semula menerusi skim pembiayaan yang mesra dan tidak membebankan. Pendekatan holistik secara bersepadu wajar diketengahkan untuk menangani isu ini secara penuh hikmah dan bijaksana melibatkan kolaborasi pelbagai pihak ibarat pepatah “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.

Usaha murni dalam merealisasikan tanggungjawab sosial ini dilihat selari dengan agenda value-based intermediation (VBI) yang didokong oleh semua institusi perbankan Islam bagi mencapai Maqasid Syariah dalam aspek amalan, pengurusan dan penawaran produk ke arah menjana impak positif dan lestari kepada ekonomi dan komuniti. Pada saat getir inilah ruang kerjasama antara institusi perbankan Islam dan institusi zakat wajar dipertingkat demi mencari penawar mujarab untuk menangani “kluster” al-gharimin COVID-19 yang jelas membuktikan mereka sedia menabur khidmat dan terus kekal relevan di hati masyarakat.

–BERNAMA

Dr Syahnaz Sulaiman ialah Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker