Kesabaran UMNO ada hadnya – Penganalisis politik

Share

UMNO, Dulu Kini & Selamanya
UMNO tidak boleh dipersalahkan atau didakwa memberi tekanan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila mahu mempertimbangkan semula sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Untuk berlaku adil, UMNO sebenarnya telah memberi kerjasama yang baik kepada Perdana Menteri selepas Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Melalui kerjasama itu, Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri, meskipun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya mempunyai tujuh kerusi di Parlimen.

Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Ramlah Adam mendakwa, ketidakpuasan hati UMNO tercetus selepas pemilihan anggota Kabinet PN dibuat oleh Perdana Menteri tanpa semuanya dipersetujui oleh Presiden UMNO.

Selama kerjasama dalam PN, UMNO juga sudah cukup bertolak-ansur walaupun pelantikan jawatankuasa-jawatankuasa penting dalam kerajaan turut tidak membabitkan parti itu.

Tidak cukup dengan itu, UMNO diperlekehkan semasa Pilihan Raya Negeri Sabah kerana terpaksa berdepan dengan Bersatu dan calon bebas yang didukung oleh Bersatu.

Dalam situasi itu, sudah tentu UMNO merasakan ia dipermainkan.
Sekali lagi, UMNO rasa diuji apabila Bersatu memilih Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah dan pelantikan tiga Exco bagi jawatan penting yang dijanjikan turut gagal ditunaikan sehingga keadaan menjadi kecoh.

“Perkara-perkara yang berlaku ini menyaksikan Bersatu tidak ikhlas untuk bekerjasama dengan UMNO.
“Apabila UMNO terus diperlekehkan, sudah tentu akar umbi marah.

”Ahli-ahli UMNO melihat Bersatu cuba ‘menelan’ UMNO, selepas usaha Dr Mahathir ‘membunuh’ UMNO ditentang habis-habisan oleh ahli-ahli dan penyokongnya.

“Tindak-tanduk Bersatu yang masih mempertahankan individu-individu lain daripada didakwa turut menimbulkan persoalan. Kenapa pendakwaan terpilih hanya kepada pemimpin UMNO sahaja. Bagaimana pemimpin-pemimpin lain,” ujar Ramlah.

Oleh itu, katanya, dalam senario sekarang, tindakan UMNO tidak boleh dipersalahkan.

Tambahan pula, gelagat Bersatu suka melaga-lagakan UMNO dan Pas, yang dilihat tidak ada sifat setia kawan sedangkan sudah menjalinkan perjanjian dalam Muafakat Nasional (MN).

“UMNO dilihat terkontang-kanting tetapi siapa yang memecahbelahkan MN, sedangkan UMNO cukup memelihara perhubungannya dengan Pas selama ini.

“Bila ‘dibelasah’ sehingga ke dinding sehingga sukar ‘bernafas’, adakah kita mengharapkan UMNO terus bersabar. Sudah tentu tidak. Kali ini UMNO bangun kerana kesabaran ada hadnya,” ujar Ramlah lagi.

Penganalisis politik itu percaya, UMNO tidak akan membuat tindakan drastik jika kerjasama itu terjalin dengan baik dan berada dalam situasi menang-menang mengambil kira kedudukannya yang besar di Dewan Rakyat.

“Tidak kira dalam apa-apa perjanjian sekalipun, janji perlu dipegang. Berdosa besar jika ia tidak ditunai,” katanya. MG

Muhyiddin perlu tunai tuntutan UMNO, kata penganalisis politik

Leave a Reply