Langkah KKM tangani COVID-19 selari kaedah Ibnu Sina – Dr Noor Hisham

Langkah pencegahan kesihatan awam yang diambil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani pandemik COVID-19 menepati kaedah sama yang dilaksanakan tokoh perubatan Islam, Ibnu Sina.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun berada pada zaman yang berbeza, namun prinsip asas kesihatan awam kekal dan tidak berubah.

“Matlamat paling utama adalah meningkatkan kesihatan, khususnya dalam kalangan penduduk, dengan mengamalkan semua langkah pencegahan yang diperlukan,” katanya menerusi catatan di akaun Facebook miliknya hari ini.

Dalam status yang sama, Dr Noor Hisham turut berkongsi petikan sebuah filem pada tahun 1968 yang melakonkan semula watak Ibnu Sina.

Filem berdurasi tiga minit enam saat itu memaparkan kejadian pada 10 abad yang lalu, ketika mana Ibnu Sina mendedahkan sifat wabak.

[KGVID]https://mykmu.net/wp-content/uploads/2020/07/Facebook-17.mp4[/KGVID]

Beliau turut membincangkan perkara tersebut dalam buku tulisannya yang bertajuk The Canon of Medicine (Kanun Perubatan).

Dalam video tersebut, Ibnu Sina yang dilahirkan di Bukhara, Asia Tengah meminta supaya penduduk pada zaman tersebut membasuh tangan menggunakan cuka dan menukar kepada pakaian yang bersih.

Beliau juga hanya menyapa individu lain tanpa bersentuhan dan menegaskan langkah itu perlu dilakukan bagi mengelakkan penyakit berjangkit yang boleh mengakibatkan kematian.

Filem yang dihasilkan pada 1968 itu turut meminta supaya masyarakat tidak panik, elak berkumpul beramai-ramai dan menjauhi mereka yang sakit kerana penyakit tersebut disebarkan melalui kuman yang kecil.

Begitu juga, kedai-kedai dan masjid perlu ditutup untuk tempoh sementara dan orang ramai disaran supaya mengerjakan solat di rumah masing-masing. Awani

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker