PRK DUN Slim: Ujian sebenar Perikatan Nasional

SUDAH lebih seminggu pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib yang meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Bentong, Pahang.

Kehilangan Allahyarham bukan sahaja dirasai oleh masyarakat di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim tetapi turut memberi kesan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana terpaksa berdepan satu lagi Pilihan Raya Kecil (PRK).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam sudah pun mengumumkan tarikh-tarikh penting bagi PRK DUN Slim bermula dengan penamaan calon pada 15 Ogos diikuti pengundian awal pada 25 Ogos dan seterusnya pengundian sebenar pada 29 Ogos 2020.

PRK DUN Slim dilihat sebagai medan ujian sebenar kepada UMNO dan BN yang kini bersama dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) bersama Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Berbanding PRK DUN Chini, BN menang mudah atas beberapa faktor antaranya Pakatan Harapan (PH) tidak meletakkan calon selain parti-parti dalam gabungan PN juga bersetuju dengan calon BN tersebut. Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, BN yang diwakili Mohd Khusairi berjaya mengekalkan penguasaan selama empat penggal apabila menewaskan calon Pas, Muhammad Zulfadli Zainal dan calon Bersatu, Mohd Amran Ibrahim yang juga Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Malim dengan majoriti 2,183 undi.

Sebelum tarikh PRK DUN Slim diumumkan, sudah ada suara-suara yang memberikan cadangan agar UMNO menyerahkan kerusi tradisi tersebut kepada Pas atau Bersatu untuk membuktikan keikhlasan dan keutuhan muafakat yang dijalin antara parti dalam PN.

Pengerusi Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Asrul Henreng dalam kenyataan medianya menjelaskan, PRK DUN Slim merupakan masa yang sesuai kepada UMNO untuk membuktikan semangat setiakawan dan keutuhan kerjasama PN tersebut kepada rakyat.

Secara dasarnya, amat sukar untuk UMNO menyerahkan kerusi tersebut kepada mana-mana rakan komponen dalam PN memandangkan mereka mengetahui kekuatan di kerusi DUN Slim yang dimenangi sejak empat penggal lalu.

Namun, Bersatu pastinya mahu mencuba nasib untuk menambah kerusi DUN di Perak tambahan pula Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kini merupakan Timbalan Presiden Bersatu.

Formula

UMNO mempunyai kekuatan tersendiri di Bahagian Tanjung Malim dengan jumlah cawangan sebanyak 60.

Dengan 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di dalam kawasan DUN Slim, jentera mereka dilihat begitu kuat dan menjadi semakin ampuh apabila dibantu jentera Pas Kawasan Tanjung Malim.

Kawasan DUN Slim mempunyai 23,094 pengundi dengan 41 peratus merupakan pengundi berumur bawah 40 tahun, 33 peratus berumur 41 hingga 60 tahun dan 26 peratus lagi adalah pengundi berumur melebihi 61 tahun.

Melihat kepada angka itu, parti-parti yang bertanding perlu meletakkan calon muda malah BN berkemungkinan menggunakan formula pemilihan calon PRK DUN Chini dengan meletakkan anak muda tempatan mewakili parti itu.

Hampir keseluruhan kawasan DUN Slim merupakan kawasan rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) meliputi Felda Gunung Besout, Felda Trolak dan Felda Sungai Behrang.

Difahamkan, UMNO Bahagian Tanjung Malim telah mengemukakan beberapa nama kepada UMNO Perak dan UMNO Pusat untuk membuat keputusan malah Ketua Penerangan UMNO Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun turut mengesahkan bahawa terdapat sembilan calon yang disenaraikan.

Antara nama yang disebut-sebut termasuklah Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz; Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Amin Othman; Ketua Peneroka Felda Kebangsaan yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tanjung Malim, Sulong Jamil Mohamed Shariff dan bekas Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia Wilayah Trolak, Ku Zaharin Shah Ku Mansor.

Bagi PH pula, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak mula melaungkan amaran apabila Pengerusinya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak paling awal mengumumkan untuk meletakkan calon bertanding di kawasan itu.

Bagaimanapun, Parti Amanah Negara (Amanah) dilihat begitu berkobar-kobar untuk menghadapi PRK tersebut selepas Ketua Amanah Kawasan Tanjung Malim, Khairol Najib Hashim mengumumkan Bilik Gerakan Pilihan Raya mereka sudah diaktifkan.

PKR difahamkan sudah meneliti beberapa calon untuk mewakili PH bagi kerusi DUN tersebut dengan keutamaan diberikan kepada anak tempatan.

Antara nama yang tersenarai ialah Naib Ketua PKR Cabang Tanjung Malim, Malek Farok Zainal Abidin; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Tanjung Malim, Muhamad Alif Asyraf Abd Rahim dan Ketua Wanita PKR Cabang Tanjung Malim, Junaida Jamaluddin.

Biarpun peluang untuk PH menang pada PRK DUN Slim dilihat agak tipis kerana mereka kehilangan rakan sekutu sebelum ini iaitu Bersatu selain cabaran untuk memilih calon di situ, mereka boleh menggunakan peluang tersebut untuk menguji kekuatan menjelang pilihan raya umum akan datang.

Apa yang pasti, PRK DUN Slim dijangka mempertemukan anak tempatan untuk meraih sokongan majoriti besar warga Felda di situ.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker