ICERD : Masa depan Melayu, Islam terancam

ICERD: Pas, UMNO gusar masa depan Melayu, Islam

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini menyaksikan kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan negeri dan pembangkang berkongsi pandangan sama berkaitan Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Kedua-dua belah pihak bersetuju tindakan kerajaan Persekutuan mahu meratifikasi ICERD menimbulkan kebimbangan kerana dikhuatiri menjejaskan kedudukan kaum bumiputera dan agama Islam di negara ini.

Timbalan Menteri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan Pas Kelantan akan terus mempertahankan hak-hak keistimewaan orang Melayu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.



“Secara rasmi kita belum berbincang isu ini dengan Pusat tetapi kita berpegang teguh kepada Perlembagaan negara terutama membabitkan Perkara 152, Perkara 59 dan lain-lain.

“Kita mempertahankan perkara ini sejak dahulu lagi kerana tanah ini milik orang Melayu. Orang India ada benua India, orang Cina ada benua China maka tanah Melayu adalah milik orang Melayu,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Md. Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) berhubung pendirian kerajaan negeri terhadap langkah diambil kerajaan Persekutuan yang dikatakan komited mahu meratifikasi konvensyen berkenaan.

Sementara itu, Md. Alwi yang juga Ketua Pembangkang menggesa kerajaan Pusat supaya tidak tergesa-gesa menandatangani sebarang perjanjian antarabangsa seperti ICERD kerana memberi kesan besar terhadap orang Melayu dan kaum lain.



“Parti-parti seperti UMNO, MCA dan MIC kena haram, malah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) iaitu parti Perdana Menteri sendiri pun kena haram sebab berasaskan kaum. Pas juga kena haram sebab ada nama Islam.

“Dari segi implikasinya terhadap insitusi pula, banyak yang akan terjejas seperti Mara, PNB (Permodalan Nasional Berhad), malah mungkin Tabung Haji juga kena haram sebab hanya untuk orang Islam sahaja,” katanya.

Tambah beliau, suatu ketika dulu kerajaan Pusat pernah melakukan kesilapan dengan menandatangani satu perjanjian antarabangsa yang mengharamkan penanaman tembakau.

“Akhirnya Kelantan yang menderita paling banyak kerana kita ada ramai penanam tembakau. Walaupun Lembaga Tembakau Negara (LTN) ditukar kepada Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) namun masih tidak dapat membantu penanam tembakau.



“Negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Filipina, Brunei malah Singapura pun tak tandatangan. Kita pernah buat kesilapan, itu hanya jejaskan penanam tembakau. Tapi ICERD ini besar, melibatkan maruah bangsa dan negara kita,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/politik/icerd-pas-umno-gusar-masa-depan-melayu-islam-1.777989#ixzz5VOsqgknh
© Utusan Melayu (M) Bhd

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker