Kebebasan Bersuara Malaysia Baharu?

1. Antara laungan kuat di kalangan pemimpin Pakatan Harapan selepas 9 Mei 2018 ialah Malaysia Baharu yang lebih terbuka dan kebebasan bersuara tanpa takut berhadapan pendakwaan dan tekanan undang-undang.

2. HAK untuk bersuara dan meluahkan pandangan telah diberikan oleh Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan. Perkara ini menyatakan bahawa setiap warganegara berhak ke atas kebebasan bercakap dan bersuara. Bagaimanapun sudah tentu hak bersuara ini dikawal oleh undang-undang lain.

3. Perlembagaan tidak memberi hak untuk kita memfitnah, menghasut sehingga mencetuskan revolusi, menghuru-harakan kerajaan dan negara atau menghina kepercayaan agama dan suku kaum lain.

4. Persoalan yang berlegar di kalangan rakyat ialah apakah sebelum ini tiada kebebasan bersuara ini? Apakah selama ini suara-suara yang menentang kerajaan Barisan Nasional didakwa, ditangkap atau diganggu oleh pihak keselamatan?

5. Jika dilihat suara-suara yang menentang kerajaan dan kebebasan yang mereka nikmati sebelum Mei 2018, ia jelas membuktikan Malaysia sudah lama membebaskan diri dari belengu dan kepompong sekatan suara politik.

6. Sebenarnya proses keterbukaan dan penghormatan kepada percambahan pemikran rakyat ini bermula pada era pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi. Beliau begitu terbuka kepada kritikan dan saranan sehingga dianggap Perdana Menteri yang terlalu lembut dan “Mr Nice Guy”.

7. Di bawah Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, Kerajaan telah telah menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960. Akta yang membolehkan kerajaan menangkap dan menahan seseorang tanpa bicara selama dua tahun dimansuhkan bagi memberi kebebasan lebih besar kepada proses kebebasan bersuara dan berpolitik. Untuk rekod, tangkapan dan tahanan politik ini banyak berlaku semasa Perdana Menteri Keempat, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

8. Benar kerajaan menggantikannya dengan SOSMA (Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012. Namun SOSMA jelas berbeza dengan ISA kerana ia menjamin hak tertuduh untuk mengetahui sebab tangkapan dan harus dihadapkan di Mahkamah dalam tempioh 28 hari selepas tangkapan.

9. Pada 2012, Kerajaan Barisan Nasional juga telah meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang dikatakan menyekat kebebasan penulis dan penerbit akhbar.

10. Kerajaan Barisan Nasional juga telah meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) bagi membolehkan pelajar universiti terbabit dalam politik tanpa sekatan. AUKU PADA 1971 adalah sebuah Akta yang hanya bertujuan mengawal selia penubuhan dan pengurusan universiti mendapat imej buruk berikutan pindaan pada 1975, 1983 dan 1996. Pindaan-pindaan pada ini telah menyekat hak dan kebebasan bersuara mahasiswa dan pensyarah universiti.

11. Barisan Nasional mewarisi imej tidak terbuka, anti-demokrasi dan kuku besi ketika 22 tahun pentadbiran Dr Mahathir. Walaupun pemimpin selepasnya melakukan banyak perubahan dan keterbukaan, ia kelihatan tidak mencukupi untuk menghapuskan tanggapan negatif sebelum ini.

12. Justeru selepas lebih 100 hari memerintah, apakah perubahan kebebasan bersuara yang telah dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan bagi membolehkan mereka mendabik dada telah mewujudkan Malaysia baharu yang lebih terbuka dan demokratik.

13. Mereka berjanji untuk memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, SOSMA dan AUKU 1971. Namun sampai hari ini ia masih wujud dan berjalan seperti biasa. Jadi apa yang baharunya dalam soal kebebasan bersuara?

14. Lebih penting rakyat berhak bertanya sejauh mana kebebasan bersuara ini akan dilebarkan oleh Pakatan Harapan?

15. Apakah Malaysia Baharu akan membenarkan orang ramai mempertikai dan membantah pengharaman kumpulan LGBT oleh Islam? Apakah hak bersuara ini lesen untuk kumpulan tertentu mencabar kedudukan Islam, Raja-raja Melayu, masyarakat Bumiputera dan bahasa Melayu yang selama ini dilindungi Perlembagaan Malaysia?

One thought on “Kebebasan Bersuara Malaysia Baharu?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.