Laporan nahas Elmina, keluarga Allahyarham Hafiz terima dengan hati terbuka

ALOR SETAR: Keluarga Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, menerima dengan hati terbuka semua laporan awal nahas pesawat ringan Beechcraft Premier 1 berikutan menganggap laporan itu lebih penting untuk keluarga mangsa yang berada di dalam pesawat.

Bapanya, Muhamad Salleh Othman, 57, berkata beliau menyerahkan segala-galanya kepada kerajaan, terutama Kementerian Pengangkutan (MoT) untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Kami serahkan semuanya kepada kerajaan untuk jalankan siasatan dan menerima segala keputusan siasatan.



“Kami sudah reda dengan pemergiannya dan menganggap ia sebagai suratan takdir,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 2.40 petang, 17 Ogos lalu berlaku setelah pesawat yang berlepas dari Langkawi itu dibenarkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang sebelum terputus komunikasi dengan menara kawalan.

Pesawat dipercayai melencong sebelum hilang kawalan dan terhempas.

Seramai 10 individu termasuk Muhamad Hafiz yang juga pekerja p-hailing yang kebetulan lalu di lokasi kejadian maut, selain EXCO Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Johari Harun.



Laporan Awal Nahas Kemalangan Udara Elmina yang dikeluarkan MoT, pada Jumaat melaporkan punca atau faktor penyumbang pada kemalangan udara yang membabitkan pesawat Beechraft di Bandar Elmina, Shah Alam yang berlaku pada 17 Ogos lalu akan dimasukkan ke dalam Laporan Akhir.

Laporan akhir nahas dijangka selesai selewat-lewatnya pada Ogos 2024.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker