Samun guna parang dan larikan kereta, 3 penjenayah berjaya ditahan

PETALING JAYA – Tiga lelaki tempatan ditahan kerana disyaki menyamun menggunakan sebilah parang dan melarikan sebuah kereta jenis Perodua Myvi di sebuah kawasan parkir pangsapuri, di sini pada Khamis.

Kejadian itu turut tular selepas dimuat naik oleh salah seorang ahli keluarga mangsa di halaman Facebook peribadi miliknya pada Khamis mendakwa kereta berkenaan merupakan milik abangnya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun mendakwa disamun tiga lelaki sekitar jam 5 pagi.



“Semasa kejadian, ketiga-tiga suspek yang berusia lingkungan 32 hingga 39 tahun memakai topi keledar dengan visor gelap dan memakai pelitup muka.

“Selepas melarikan kereta mangsa di Petaling Jaya, suspek terbabit sekali lagi melakukan samun di sekitar kawasan Subang Jaya,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohamad Fakhrudin berkata, bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan semua suspek dalam tiga serbuan berasingan di sebuah hotel di sekitar Bandar Sunway, di sini dan sebuah flat di sekitar Puchong pada awal pagi Jumaat.

“Suspek merupakan kenalan rapat yang tinggal di Taman Medan dan Taman Datuk Harun, Petaling Jaya.



“Polis menemui telefon bimbit pelbagai jenama, senjata tajam dan motosikal yang dipercayai digunakan semasa menyamun. Polis juga berjaya menemui semula Perodua Myvi milik mangsa yang dilarikan ketiga-tiga suspek berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, permohonan reman akan dibuat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker